Home Tempatan PAS: Hakim syarie lebih adil kerana ‘faham agama’

PAS: Hakim syarie lebih adil kerana ‘faham agama’

Seorang pemimpin PAS berkata hakim mahkamah syariah dilantik atas keperibadian beragama dan oleh itu tidak akan melakukan kezaliman.

SHARE

PETALING JAYA: PAS mempertahankan hakim mahkamah syariah daripada dakwaan mereka tertumpu kepada menghukum pesalah, dan berkata hakim syarie merupakan individu beragama yang akan bertindak lebih adil kerana mereka “faham dosa dan pahala”.

“Adalah sangat jahat cuba mengajak rakyat berprasangka buruk kepada hakim-hakim syariah seolah olah mereka manusia yang tidak berhati perut yang ‘gila’ mahu mendera, menyebat manusia, mendenda sampai bangkrap atau memenjarakan orang sampai ke tua agar mati di dalam penjara,” kata Pengarah Jabatan Penerangan PAS, Ahmad Amzad Hashim.

Beliau dipercayai merujuk kebimbangan sesetengah pihak terhadap rang undang-undang yang dicadangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagi menambah kuasa hakim mahkamah syariah menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas pesalah Islam.

Sebaliknya, Ahmad Amzad menceritakan pengalaman beliau ketika terlibat dalam kes didengari seorang hakim bukan Islam dari mahkamah sivil, yang menurutnya kerap menggunakan waktu rehat perbicaraan untuk meminum arak.

“Bayangkan selang setiap dua jam akan ada waktu rehat. Saya kebetulan memerhati gerak geri mantan hakim ini. Waktu rehat beliau ke lounge terbuka dan meminum arak. Bukan sekali berlaku. Hampir setiap kali waktu rehat, ‘break’ perbicaraan,” katanya.

Ahmad Amzad, bagaimanapun, berkata tidak ada kesan hakim tersebut mabuk dan perbicaraan dikendali dengan profesional.

“Walau bagaimanapun kami menang kes ini,” katanya dalam kenyataan diterbitkan lidah rasmi PAS, Harakahdaily.

Ahmad Azam berkata “bukan mudah” melantik hakim syarie kerana mereka perlu mempunyai keperibadian beragama dan sahsiah.

“Seorang yang jahil agama, seorang pendosa mempunyai kebarangkalian yang sangat kecil menjadi hakim syarie. Hampir tidak berpeluang langsung.

“Seorang yang faham agama, berilmu, baik pengamalan agama mempunyai kebarangkalian yang sangat tinggi untuk tidak zalim dan berusaha berlaku adil lantaran faham soal dosa dan pahala,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments