Home Tempatan PAS dakwa kontrak mufti tak disambung akibat bantah arahan Guan Eng

PAS dakwa kontrak mufti tak disambung akibat bantah arahan Guan Eng

SHARE

PETALING JAYA: PAS mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang cuba mencampur tangan dalam isu pelantikan mufti di negeri itu, susulan kontrak bekas mufti negeri, Datuk Seri Hassan Ahmad tidak disambung selepas tamat pada Jun 2014.

Setiausaha Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden turut mendakwa tindakan itu diambil kerana Hassan membantah arahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung penggunaan kalimah Allah yang bertentangan Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004.

“Agaknya mengapa Datuk Hassan, bekas mufti Pulau Pinang tidak disambung kontrak sebagai mufti sebelum ini? Adakah kerana isu fatwa kalimah Allah di Pulau Pinang? Kontrak mufti di bawah bidang kuasa exco agama.

“Khabarnya selepas isu fatwa kalimah Allah itu, Lim Guan Eng minta exco agama keluarkan arahan supaya semua fatwa mesti dimaklumkan terlebih dahulu dalam mesyuarat exco, sebelum ia dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong. Hassan selaku mufti waktu itu membantah arahan tersebut.

“Selepas itu, Hassan tidak disambung kontrak sebagai mufti, digantikan Datuk Dr Wan Salim, mufti sekarang. Sepatutnya dalam isu ini, exco agama Pulau Pinang yang jawab, bukan peralatkan mufti untuk jawab,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Hassan dilantik sebagai mufti Pulau Pinang pada 1997, namun kontraknya tidak disambung pada 2014.

Pada Disember 2014, Guan Eng mengeluarkan kenyataan membenarkan orang bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah Allah.

Katanya, larangan menggunakan kalimah Allah yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 tidak terpakai kepada orang bukan Islam kerana penguatkuasaannya hanya sah kepada umat Islam.

Free Malaysia Today

Comments