Home Tempatan PAS: Betul kata Hadi, kerajaan DAP-PKR abai orang Islam

PAS: Betul kata Hadi, kerajaan DAP-PKR abai orang Islam

Kerajaan Pulau Pinang gagal bela kampung warisan Melayu, berat sebelah terhadap penjaja, menyebarkan Islam liberal dan menambak lubuk udang nelayan.

SHARE

BUTTERWORTH: PAS Pulau Pinang hari ini mempertahankan presiden mereka yang dikatakan mendakwa kerajaan DAP-PKR mengabaikan orang Melayu dan Islam.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff berkata Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan yang tepat, apabila didakwa mengatakan kerajaan DAP-PKR gagal melindungi hak orang Melayu dan Islam.

Beliau memberikan contoh kampung warisan Melayu yang wujud sejak 1700an tidak dilindungi, yang dijanjikan DAP dan PKR dalam manifesto Pakatan Rakyat.

“DAP dan PKR melalui kuasa di dalam kerajaan Pulau Pinang didapati tidak melaksanakan manifesto untuk mewujudkan ‘persempadanan perkampungan warisan Melayu’.

“Berdasarkan maklumat yang direkodkan, terdapat 25 buah kampung warisan Melayu di Pulau Pinang terhapus sejak zaman pemerintahan BN hingga kini, akibat projek pembangunan,” katanya pada sidang media di Markas Tarbiah PAS Pongsu Seribu, Kepala Batas hari ini.

Fauzi berkata pihak berkuasa tempatan tempatan berat sebelah dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap penjaja Melayu dan bukan Melayu yang melanggar peraturan.

Katanya gerai penjaja Melayu di luar bandar, termasuk gerai milik orang kelainan upaya, dirobohkan kerana melanggar peraturan PBT.

“Penjaja bukan Melayu yang berniaga di Jalan Baru, sekitar Komtar, Jalan Chulia dan sekitar Kompleks Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Sungai Ara tidak diambil tindakan walaupun dilaporkan melakukan kesalahan yang sama.

“Wakil PAS di MBPP pernah membantah tindakan dwi standard ini. Namun, disanggah wakil DAP dengan alasan penjaja Melayu yang dirobohkan gerai tersebut ‘kumpulan yang cenderung kepada Umno’ dan ‘tidak perlu dipertimbangkan rayuan mereka’,” katanya.

“Bahkan, wakil PAS tersebut pula dituduh rasis dan pro-Umno semata-semata kerana mempertahankan penjaja Melayu berkenaan,” kata Fauzi.

Fauzi berkata perkara lain seperti penyebaran Islam liberal, melanggar fatwa kerajaan negeri dan bantahan terhadap pindaan Akta Mahkamah Syariah menunjukkan kerajaan Pulau Pinang tidak peduli akan orang Islam.

“Langkah DAP dan PKR untuk mewujudkan 3 buah pulau di Teluk Kumbar bagi membiayai kos projek mega Penang Transportation Master Plan (PTMP) memberi implikasi negatif terhadap ribuan penduduk Melayu-Islam yang menetap di kawasan berkenaan.

“Projek ini akan menghapuskan lubuk pembiakan ikan dan udang yang menjadi sumber rezeki kepada penduduk Melayu-Islam setempat.

“Tawaran pampasan yang diberikan pula difahamkan tidak setimpal, ibarat ‘kenyang sekali tetapi melarat bertahun-tahun’,” katanya.

Exco PKR Abdul Malik Kassim baru-baru ini menafikan kenyataan Hadi yang mendakwa kerajaan Pulau Pinang tidak mempedulikan nasib rakyat di negeri itu.

Malik berkata kerajaan pimpinan DAP-PKR memperuntukkan bajet pembangunan Islam yang terbesar dalam sejarah negeri itu.

Free Malaysia Today

Comments