Home Tempatan PAS: Berita dua kabinet berita palsu

PAS: Berita dua kabinet berita palsu

SHARE

PAS hari ini menegaskan laporan mengenai cadangan pembentukan dua kabinet oleh sebuah portal berita baru-baru ini adalah tidak benar dan menyifatkannya sebagai berita palsu.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu telah diputar belitkan oleh portal terbabit dan berniat jahat.

“PAS kesal kenyataan presiden diputar belit oleh The Malaysian Insight dan diulas oleh para pimpinan politik berdasarkan kenyataan yang diselewengkan itu.

“Wartawan yang hadir mungkin tidak memahami maksud penggunaan istilah ‘Wazaratul Tanfiz’ dan ‘Wazaratul Tafwid’ yang digunakan oleh presiden atau sengaja memutarbelit demi hasrat melaga-lagakan orang ramai.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini sangat dikesalkan,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataannya.

Menurut Tuan Ibrahim, wazaratul tanfiz ialah istilah di mana sesorang itu boleh membuat keputusan mutlak tanpa persetujuan orang lain.

“Dalam hal ini pembuat dasar yang sebegini mestilah terdiri dari penganut agama negara (Islam) kerana tidak mungkin orang bukan Islam boleh membuat keputusan berhubung dasar dan pengamalan Islam. Kerana ia melibatkan soal hukum halal dan haram, dosa dan pahala serta mesti merujuk kepada sumber utama Islam iaitu al-Quran dan Hadis.

“Adalah tidak masuk akal sama sekali sekiranya kementerian yang menjaga hal ehwal agama Islam diberikan kepada bukan orang Islam untuk menguruskannya,” jelasnya.

Manakala Wazaratul Tafwid pula katanya, ialah badan yang tiada kuasa mutlak dalam memutus sesuatu perkara dan terikat dengan keputusan kabinet.

“Maka ianya tidak terikat dengan syarat sebagaimana Wazaratul Tanfiz. Dengan kata lain ia boleh dianggotai oleh sesiapa sahaja rakyat yang mempunyai kebolehan dan kemampuan, termasuk menjadi menteri, Timbalan Menteri dan lain-lain jawatan,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi dalam wawancara ekslusif bersama Malaysiakini berkata apa yang diimaksudkannya ialah pembahagian tugas yang biasa dilakukan oleh sesebuah kerajaan.

“Dua kabinet itu tak betul, bukan dua kabinet (tetapi) pembahagian tugas, dan biasalah dalam kerajaan ada perdana menteri, timbalan perdana, menteri tugas-tugas khas, menteri yang memantau kementerian, itu biasa pembahagian, bukan dua kabinet.

“Itu yang dia tak faham, tak faham ulasan saya,” katanya.

‘Hanya PM ada hak sebagai Wazaratul Tanfiz’

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata dalam konteks Malaysia hanya perdana menteri mempunyai hak sebagai Wazaratul Tanfiz, manakala para menteri adalah termasuk dalam kategori Wazaratul Tafwid yang terikat dengan keputusan mesyuarat kabinet dan keputusan perdana menteri.

Justeru katanya tindakan menggambarkan wujudnya dua kabinet adalah jelas berniat jahat dan merosakkan profesionalisme kewartawanan.

“Apa yang lebih mendukacitakan ialah tindakan pengkritik tanpa merujuk dan memahami ucapan sebenar presiden PAS yang dapat dirujuk dalam pelbagai saluran media yang ada.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

 

Comments