Home Tempatan PAS Berhasrat Melestarikan Shah Alam, Tutup Kilang Carlsberg – Dr Mohd Zuhdi...

PAS Berhasrat Melestarikan Shah Alam, Tutup Kilang Carlsberg – Dr Mohd Zuhdi Marzuki

SHARE

Shah Alam, Selangor – PAS mahu melestarikan Shah Alam sebagai bandaraya ilmu dan bandar dalam taman, sambil membantu golongan miskin bandar dengan memajukan kegiatan pertanian dalam bandar, kata calon P108 Parlimen Shah Alam daripada PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki merangkap Pengarah Pusat Penyelidikan PAS.

Menurut Dr Mohd Zuhdi yang juga telah bermaustautin di Shah Alam selama lebih 16 tahun seawal 2004 lagi, mutakhir ini pembangunan Shah Alam mulai lari dari konsep pembangunannya yang asal apabila wujud pusat-pusat hiburan yang boleh menjurus kepada maksiat serta keruntuhan moral.

“Saya juga memikirkan bagaimana boleh membantu golongan miskin bandar melalui pendekatan membangunkan koperasi warga Shah Alam serta memajukan kegiatan pertanian dalam bandar.”

“Daripada segi perkembangan Islam, saya merancang untuk membantu perkembangan pendidikan Islam dan institusi tahfiz yang sedia membangun di Shah Alam,” jelas beliau.

Namun perkara yang paling mencabar bagi beliau jika terpilih sebagai ahli Parlimen bagi kawasan Shah Alam adalah beliau akan berusaha untuk memastikan kilang arak Carlsberg tidak lagi beroperasi di bumi Shah Alam ini.

“Saya yakin warga Shah Alam akan mendukung hasrat dan aspirasi saya untuk membangunkan Shah Alam secara lestari dengan bernaung di bawah petunjuk al-Quran dan as-Sunnah.”

Pesanan ringkas Dr Mohd Zuhdi Marzuki kepada pengundi Shah Alam adalah supaya menggunakan peluang mereka sebagai warga Shah Alam untuk mengundi PAS ke arah kesejahteraan dan keharmonian sejati di dunia dan akhirat.

Comments