Home Tempatan Parlimen: Konsep Wasatiyyah Dicadang Disisipkan Dalam Kurikulum Pembelajaran

Parlimen: Konsep Wasatiyyah Dicadang Disisipkan Dalam Kurikulum Pembelajaran

SHARE
Sumber gambar : BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) — Konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dicadang disisipkan dalam kurikulum sekolah dan universiti bagi meningkatkan kefahaman rakyat terhadap konsep berkenaan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata kerajaan juga sedang berusaha mengumpulkan ilmuan daripada semua agama di negara ini bagi membincangkan konsep wasatiyyah untuk dijadikan amalan dan cara hidup terbaik rakyat negara ini.

“Memang kalau kita selidik semua agama, setiap agama itu ada amalan-amalan yang boleh dikatakan universal walaupun kita berbeza dari segi akidah tetapi dari segi nilai kebersamaan, agama Kristian ke, agama Buddha ke, ada maksud kesederhanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) mengenai sama ada kerajaan bercadang menerapkan konsep wasatiyyah dalam kurikulum pembelajaran dan memanggil cerdik pandai agama untuk membincangkan konsep kesederhanaan, pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Katanya kerajaan sedar usaha untuk menerapkan konsep wasatiyyah dalam kalangan masyarakat Malaysia dan dunia adalah sukar berbanding menerapkan nilai kebencian.

“Ini merupakan satu cabaran yang amat besar bagi kita sebab untuk menimbulkan kemarahan, malah kebencian adalah lebih mudah daripada kita mengajak orang mengamalkan nilai-nilai murni yang dituntut dalam Islam seperti wasatiyyah,” katanya.

Melihat kepada ancaman keganasan, ekstremism dan Islamophobia yang berlaku di seluruh dunia, Najib berkata tuntutan untuk mengamalkan konsep wasatiyyah secara sejagat kini menjadi lebih relevan.

Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia turut memainkan peranan bekerjasama dengan negara-negara lain untuk menyebar luas konsep wasatiyyah supaya masyarakat dunia tidak terperangkap dengan fahaman mahupun ideologi yang terlalu ekstrem, tidak terlalu liberal sehingga terjerumus ke kancah salah tafsir konsep jihad seperti IS serta Daesh.

“Misalnya bila Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud bersetuju mewujudkan King Salman Centre for Global Peace di Malaysia, ini contoh kita boleh bekerjasama dengan negara-negara lain untuk menyebar luas konsep wasatiyyah ini,” katanya.

Menjawab soalan asal Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) mengenai langkah-langkah kerajaan mengamalkan kesederhanaan untuk memastikan negara kekal aman dan harmoni, Najib berkata komitmen kerajaan dalam hal itu terbukti melalui kewujudan Dasar Wasatiyyah Negara (DWN) pada 21 Okt 2016 yang direalisasikan sebagai dasar negara untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian.

Najib berkata lima objektif utama DWN ialah meningkatkan kefahaman rakyat terhadap pendekatan wasatiyyah yang menjadi asas utama dalam setiap kehidupan; penyelesaian kepada permasalahan masyarakat yang dibelenggu oleh isu-isu ektremisme dan radikalisme yang melampau serta integriti selain memperkukuhkan penghayatan wasatiyyah bagi mewujudkan semangat toleransi rakyat Malaysia yang tinggi antara satu sama lain.

Najib berkata objektif lain DWN adalah membangunkan bangsa Malaysia yang harmoni dalam menghayati nilai-nilai dan etika yang unggul berkonsepkan wasatiyyah dalam segenap kehidupan serta menjadikan wasatiyyah sebagai cara hidup rakyat Malaysia dalam segenap aspek kehidupan seperti pendidikan, ekonomi, pentadbiran, sosial, politik dan sebagainya.

Selain itu, perdana menteri berkata kerajaan turut menyediakan pelan strategik lima tahun pendekatan wasatiyyah bermula 2016 hingga 2020.

Katanya Institut Wasatiyyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri dipertanggungjawab sebagai agensi penyelaras untuk melaksanakan pendekatan wasatiyyah.

“Melalui pengwujudan DWN ini, Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Dasar Wasatiyyah Peringkat Kebangsaan, agensi dan negeri telah ditubuhkan yang dipengerusikan saya sendiri. Kerajaan yakin akan mendapat menyebar luas pendekatan ini kepada segenap lapisan masyarakat demi menjamin kestabilan dan keutuhan Malaysia yang majmuk, menuju generasi TN50 pada zaman mendatang,” katanya.

Terdahulu, Najib memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan Malaysia berjaya membawa pulang dua daripada lima rakyat negara ini iaitu Tayudin Anjut dan Abdul Rahman Summas yang diculik selama lapan bulan oleh kumpulan Abu Sayyaf.

“Mereka telah pun ditemukan dengan ahli keluarga masing-masing di kediaman saya. Apa yang penting, kerajaan Malaysia akan terus membantu kedua-dua mangsa baik dari segi rawatan mahupun kebajikan, untuk memastikan mereka kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.

Perdana menteri turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Filipina, kerajaan negeri Sabah, Wisma Putra, Polis Diraja Malaysia dan Kelab Putera 1Malaysia atas usaha membawa pulang mangsa.

Bernama

Comments