Home Tempatan Pandangan Datuk Dr Mujahid Dikhuatiri Buka Ruang Selesa Untuk LGBT – Dato’...

Pandangan Datuk Dr Mujahid Dikhuatiri Buka Ruang Selesa Untuk LGBT – Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri

SHARE

Kenyataan YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) mengenai perlakuan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) adalah bersalahan dengan sudut pandang Islam dan peruntukan undang-undang negara.

Demikian kenyataan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri susulan kenyataan yang dibuat.

“Pandangan yang beliau kemukakan itu dilihat sebagai mengiktiraf perlakuan LGBT sebagai hak seseorang selama ia dilakukan dalam ruang peribadi masing-masing.”

“Kefahaman ini ternyata sangat silap kerana LGBT melibatkan pencerobohan terhadap hak masyarakat dan sifat tabii kemanusiaan.”

Tambah Dato’ Dr Mohd Khairuddin lagi, pendirian longgar oleh seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap agama Islam dalam isu ini dikhuatiri akan membuka ruang selesa dan meyakinkan kepada golongan LGBT untuk terus mendesak agar perlakuan dan golongan LGBT diiktiraf di negara ini.

“Lebih saya bimbang, jika sikap menteri seperti itu akhirnya menjadikan Malaysia menerima syor supaya mengiktiraf orientasi seksual LGBT sebagai hak-hak asasi manusia sejagat; meminda seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat kerana menganggap ia tidak lagi relevan dan ketinggalan zaman; dan memansuhkan enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah berkaitan yang didakwa sebagai “mengganggu hak peribadi” seperti yang dituntut oleh Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO).”

Justeru, beliau berharap agar para pemimpin Pakatan Harapan bertindak dalam merobohkan kezaliman, bukannya merobohkan agama Islam dan undang-undang negara.

“Mandat kepada Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan oleh rakyat adalah untuk merobohkan kezaliman dan penindasan bukannya merobohkan agama Islam dan undang-undang.”

Comments