Home Antarabangsa Paling dahsyat, menyakitkan – Saksi

Paling dahsyat, menyakitkan – Saksi

WHO sahkan gejala dialami mangsa serangan dipercayai akibat agen saraf ‘sarin’

SHARE
KEADAAN di sebuah bilik hospital selepas serangan bom kimia yang mengorbankan banyak nyawa di Khan Sheikhoun, Syria, Selasa lalu. - AFP

KHAN SHEIKHOUN, Syria 6 April – “Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.”

Itu luahan Othman al-Khani, seorang aktivis tempatan yang juga saksi kejadian serangan bom gas toksik awal pagi kelmarin yang disifatkan pa­ling dahsyat di Syria setakat ini.

Serangan yang dilancarkan di bandar yang terletak di barat laut Idlib itu didakwa meragut sekurang-kurangnya 100 nyawa penduduk awam termasuk 25 kanak-kanak dan 13 wanita.

“Kami melihat sendiri ramai orang mati kerana sesak nafas dan realiti paling sukar ialah melihat ramai kanak-kanak menderita akibat serangan itu,” katanya seperti dilaporkan Al-Jazeera.

Seorang lagi saksi, Hani Ah­med al-Qutaini pula menyifatkan serangan itu sebagai ‘pe­ngalaman paling menyakitkan’ yang pernah dilalui sepanjang hidupnya.

“Mayat-mayat bergelimpa­ngan di atas lantai. Kami tergamam dan tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Tiada apa yang tinggal ketika ini,” katanya yang juga anggota sukarelawan ‘Helmet Putih’.

Bagi seorang mangsa, Abdul Hamid Alyousef, 28, walaupun dipakaikan topeng oleh anggota penyelamat, namun ia tidak dapat menghalang seorang demi seorang daripada ahli keluarganya pengsan.

Dia yang kehilangan isteri, Dalal dan dua anak iaitu Ahmad dan Aya dalam serangan itu mengakui turut pengsan ketika berada dalam ambulans semasa dibawa ke hospital.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pasukan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) dalam satu kenyataan kemudian mengesahkan gejala yang dialami kesemua mangsa tersebut dipercayai akibat agen saraf atau senjata bahan kimia yang dikenali sebagai ‘sarin’.

Selain pengsan, mangsa yang terkena serangan itu akan menggeletar dan bernafas tercungap-cungap ketika disiram dengan air dalam usaha mengu­rangkan kesan yang timbul akibat bahan kimia terbabit.

Dalam perkembangan ber­­kait­­an, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan serangan bom kimia itu sebagai satu ‘penghinaan terhadap kemanusiaan’.

BBC News melaporkan, Trump bagaimanapun tidak mengaitkan Rusia yang juga sekutu kuat Syria dalam serangan itu walaupun beberapa wakil AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara terang-te­rangan menuduh Rusia bertanggungjawab.

Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson pula dikatakan memberi amaran kepada Rusia supaya ‘menimbangkan’ semula kerjasama mereka dengan Presiden Syria, Bashar al-Assad ketika ini.

Sementara itu, portal Haaretz.com melaporkan, kira-kira tiga orang terkorban manakala 25 cedera apabila serangan bom gas beracun terbaharu dilancarkan pula di kampung Al-Lataminah, utara Hama, menurut pelbagai sumber hari ini.

Helikopter rejim tentera Bashar al-Assad dilaporkan men­jatuhkan beberapa bom dipenuhi klorin dan asap berwarna ku­ning kelihatan di sekitar kampung tersebut. – AGENSI/AFP

utusan online

 

Comments