Home Antarabangsa Palestin tegas syarat rundingan damai

Palestin tegas syarat rundingan damai

SHARE

JEDDAH 11 Mei – Palestin menegaskan rundingan damai dengan Israel dapat direalisasikan jika Tel Aviv bersedia untuk berundur daripada tanah yang dirampas pada 1967 selain bersetuju mengiktiraf penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Perkara itu ditekankan oleh Nabil Abu Rudeineh yang juga jurucakap kepada Presiden, Mahmoud Abbas dengan syarat lain adalah menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Menurut beliau, kesediaan Pa­lestin untuk berunding secara serius bagaimanapun bergantung kepada Israel termasuk menerima syarat yang ditetapkan itu.

“Kita tidak akan menerima sebarang jemputan jika hanya sekadar satu perjumpaan. Ini perlu berlandaskan Inisiatif Damai Arab dan penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

“Syarat tersebut sebagai tambahan kepada pelbagai isu berbangkit lain seperti pelarian dan penempatan haram Yahudi,” katanya sebagaimana lapor Arab News.

Mahmoud semalam berkata, pihaknya bersedia mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka me­lawat wilayah Palestin tidak lama lagi.

Trump juga bakal melawat Israel dalam siri lawatan luar negaranya yang pertama.

Mahmoud berkata, mereka tidak sabar untuk menunggu lawatan Trump khususnya di kawasan yang dijajah Israel di Tebing Barat dengan spekulasi mendakwa kunjungan itu akan diadakan pada 23 Mei ini.

Nabil menambah, Mahmoud me­ngulangi pendirian Palestin semasa pertemuan dengan Trump dan anggota pentadbirannya, baru-baru ini.

“Kami bersedia untuk menyer­tai rundingan damai di bawah naungan pentadbiran Trump dan bekerjasama, namun sama sekali tidak akan bertolak ansur tentang hak rakyat Palestin,” katanya.

Jelas beliau, semasa lawatan ke Israel, Trump dijangka bertemu Mahmoud dan seterusnya membincangkan kemungkinan melancarkan semula rundingan damai.

UTUSAN ONLINE

Comments