Home Antarabangsa Palestin minta ICC dakwa Israel bina penempatan haram

Palestin minta ICC dakwa Israel bina penempatan haram

SHARE
PIHAK Berkuasa Palestin (PA) mengetuai bantahan antarabangsa terhadap keputusan Israel meluluskan pembinaan haram 4,000 rumah peneroka Yahudi di Tebing Barat. - Foto AFP

TEBING BARAT: Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengetuai bantahan antarabangsa terhadap keputusan Israel meluluskan pembinaan haram 4,000 rumah peneroka Yahudi di Tebing Barat.

Pada masa sama Amerika Syarikat (AS) memilih untuk berdiam diri berhubung keputusan terbaharu rejim Zionis itu.

“Keputusan itu akan membawa kepada lebih banyak keadaan tidak stabil dan kekecohan, ” kata jurucakap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Keputusan rejim itu disokong dengan 60 undian berbanding 52 menolak, di Knesset malam isnin lalu, sekali gus memberi kuasa kepada kerajaan memaksa pemilik Arab tanah yang digunakan untuk membina penempatan itu, sama ada menerima pampasan atau tanah lain sebagai pertukaran, lapor Russia Today.

Jurucakap presiden, Nabil Abu Rdeneh, berkata undang-undang itu bercanggah dengan resolusi Majlis Keselamatan yang diterima sebulat suara Disember lalu, mengisytiharkan pembinaan penempatan itu melanggar undang-undang antarabangsa.

Sehubungan itu, Parti pemerintah Palestin, Fatah, meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), yang sudah memulakan siasatan awal terhadap tindakan Israel itu, mendakwa secara rasmi rejim Zionis berkenaan selepas kelulusan undang-undang baharu itu.

“Tiada siapa boleh membenarkan kecurian tanah penduduk Palestin. Pembinaan penempatan adalah jenayah, ia melanggar semua undang-undang antarabangsa.

“Saya rasa kini tiba masanya bagi masyarakat antarabangsa untuk bertindak menghentikan Israel daripada meneruskan jenayah ini,” kata Menteri Pelancongan dan Antikuiti Palestin, Rula Maayaa.

Sementara Menteri Luar, Riyad al-Maliki, dalam temu bual dengan radio rasmi PA, berkata jika Rumah Putih, ICC, Kesatuan Eropah dan masyarakat antarabangsa tidak menyalahkan Israel kerana tindakan itu, PA tidak akan bertanggungjawan di atas sebarang langkah yang diambil untuk mempertahankan hak penduduk Palestin.

Russia Today

Berita Harian

Comments