Home Surat “Pakar Perlembagaan” yang mempunyai penafsiran sendiri perlembagaan

“Pakar Perlembagaan” yang mempunyai penafsiran sendiri perlembagaan

SHARE

Seorang “pakar undang-undang dan perlembagaan” telah memberi pendapatnya berkenaan cadangan pindaan Akta355 (yang seringkali dianggap sebagai cadangan untuk melaksanakan undang-undang Hudud) seperti berikut: (i) “mana-mana kesalahan yang dilakukan di bawah cadangan pindaan dalam Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Akta (Akta355) tidak berkaitan dengan senarai Persekutuan – termasuklah bunuh, rogol, rompak dan curi”; dan (ii) “cadangan pindaan hanya tertakluk kepada orang Islam sahaja.

Tetapi, jika terdapat dua orang penjenayah di Kelantan yang ditangkap kerana mencuri, seorang Islam dan seorang lagi bukan, penjenayah yang bukan Islam akan dibicarakan di bawah undang-undang sivil. Manakala penjenayah Islam itu pula akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah dan berkemungkinan dikenakan hukuman potong (anggota badannya).” Ini yang disebut oleh Emeritus Prof. Datuk Dr. Shad Faruqi dalam satu forum yang bertajuk “Sebanyak Mana Anda Tahu Tentang Hudud” di mana YB Tan Sri Razaleigh Hamzah merupakan salah seorang hadirin (The Star, 13 Februari 2017).

Nafas terhenti seketika; Saya hanya mampu tergamam dan terkaku dalam kekeliruan – biar benar Shad Faruqi mengatakan sebegitu? Tidak percaya dengan perenggan yang saya baca dalam surat khabar The Star, cepat-cepat saya meneliti versi atas talian dengan harapan isinya tidak sama dengan apa yang saya baca tadi. Ya, benar. Memang itu yang diucapkan oleh Shad Faruqi, kecuali wartawan The Star tersalah melaporkan berita tersebut. Jika ini yang terjadi, maka kes ini mudah sahaja: kenyataan Shad Faruqi sebenarnya telah disalah petik atau disalah tafsir, tiada sebab lain.

Ramai antara kami yang pernah belajar dengan beliau sekitar lewat tahun 70-an dan awal tahun 80-an. Seiring perubahan masa, kami berpisah mengikut haluan masing-masing dan mempunyai kerjaya dalam bidang yang berbeza. Namun, kenyataan yang dikeluarkan dan terpapar dalam berita The Star hari ini, membuatkan saya cukup terkejut.

Komen saya mudah dan jelas, kita berada dalam situasi getir sekarang di mana kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan (yang tidak terlalu “patuh syariah”) dan kita mempunyai “sebahagian undang-undang syariah” berasingan yang terhad dan terletak bawah Perlembagaan Persekutuan untuk ditadbirkan dan ia hanya tertakluk kepada orang Islam SAHAJA. Pindaan Akta 355 merupakan salah satu jalan untuk menambah hukuman dalam peruntukan sedia ada bagi pelbagai salah laku dan perbuatan yang menyalahi syariah.

Bagi saya, komen-komen terbaru berkenaan cadangan pindaan tersebut termasuklah daripada Prof. Shad yang ianya “akan mewujudkan perundangan berbeza kepada orang Malaysia jika pindaan Akta355 dipersetujui” merupakan alasan yang tidak kukuh daripada seorang “pakar undang-undang” dan bertaraf  Profesor Emeritus Undang-Undang. Bagaimana mungkin Shad boleh menyalah tafsirkan cadangan tersebut ke tahap itu? Saya boleh terima yang kita tidak sempurna dan manusia boleh melakukan kesilapan, tetapi kalau begitulah caranya beliau membentangkan hujahnya di kemuncak perdebatan dalam seminar tersebut – ternyata beliau sengaja berbuat demikian.

Akta355 telah berkuat kuasa semenjak tahun 1965, pernah dipinda pada tahun 1984: Prof Shad hendak membuat pengakuan yang Prof langsung tak perasan Malaysia telah pun mengamalkan dua perundangan yang berbeza sejak bertahun yang lalu? Satu lagi, sewaktu Perlembagaan Persekutuan 1948 ditetapkan untuk menjadi sebahagian dari Persekutuan Perlembagaan 1957, segmen Undang-Undang Islam telah pun dimasukkan dalam lingkungan Statut Negeri seperti yang dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Bahkan, Pentadbiran British dan Lord Reid juga telah membenarkannya!

Tolonglah sedar! Fakta sejarah sudah membuktikan bahawa Undang-undang Islam seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang 99 Perak, Undang-Undang Islam di Kelantan dan Terengganu sudah wujud hampir 1000 tahun yang lalu, berkurun sebelum penjajahan Belanda, Portugis dan British di tanah Malaysia! Jadi, berdasarkan hujah sama yang seringkali disuarakan oleh golongan penentang ini yang hanya mahu SATU UNDANG-UNDANG sahaja digunapakai oleh kesemua rakyat Malaysia untuk keseragaman, kita perlu mengambil masa yang sangat lama untuk merombak semula Perlembagaan Persekutuan dan menjadikannya “islamik sepenuhnya”(jika kita SEMUA bersetuju untuk ini) yang mencakupi kepercayaan semua agama dan latar belakang – adakah kita semua benar-benar bersedia untuk itu sekarang?

Sebab itulah pindaan Akta355 sangat-sangat diperlukan untuk memudahkan, memulakan dan membuka jalan ke arah meningkatkan dan menguatkan Mahkamah Syariah dengan pelaksanaan sebahagian undang-undang Syariah setapak demi setapak dalam rangka Perlembagaan Persekutuan yang sekarang. Sebagai permulaan, pindaan ini tidak akan menjejaskan orang bukan Islam dan ia tidaklah merangkumi semua kesalahan dalam senarai Persekutuan yang terikat di bawah Undang-Undang Sivil Negara yang sedia ada. Saya tidak rasa ia sesuatu yang sukar difahami kecuali suara-suara yang menentang ini mempunyai agenda tersembunyi yang tidak berani mereka dedahkan dan pertahankan buat masa ini.

*M. Izzuddin adalah bekas pelajar ITM dan pembaca menara.my

For the English translation please click here

Comments