Home Tempatan Pakar: Pengharaman Buku Liberal G25 Adalah Wajar

Pakar: Pengharaman Buku Liberal G25 Adalah Wajar

SHARE

Putrajaya: Pengharaman buku liberal G25 yang diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) merupakan suatu tindakan yang wajar dan tepat pada masanya. Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Rashidi Wahab berkata, “Kumpulan G25 serta buku mereka Breaking The Silence: Voices of Moderation mempunyai ciri-ciri fahaman liberal, dan pengharaman buku tersebut oleh pihak KDN dan JAKIM adalah suatu tindakan yang wajar. Dan salah satu cara menyekat pemikiran liberal di Malaysia.”

Menurut Muhammad Rashidi, antara kandungan buku tersebut ialah mendakwa bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah bersifat sekular atau Malaysia adalah sebuah Negara Sekular. “Dakwaan G25 ini sudah tentu bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Tujuan mereka menafsirkan Malaysia adalah Negara Sekular bertujuan untuk melemahkan fungsi institusi Islam di Malaysia seperti Mahkamah Syariah dan sebagainya lagi.”

Buku G25 tersebut terbahagi kepada tiga tema besar yang memuatkan 21 artikel/rencana. Antara para penulisnya ialah: Nizam Bashir, Aston Paiva, Maszlee Malik, Shad Saleem Faruqi, Chandra Muzaffar, Azmi Sharom, Farouk A. Peru dan lain-lain. Buku 274 halaman ini dilancarkan ketika program Public Forum: Islam in a Constitutional Democracy yang diadakan pada 5 dan 6 Disember 2015 bertempat di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM).

Muhammad Rashidi mengulas laporan pengharaman buku liberal G25 tersebut melalui akaun facebook miliknya pada 28 Julai 2017. Beliau yang juga Felo di Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan pakar mengenai ancaman liberalisme di Malaysia, turut mendedahkan beberapa penyelewengan kumpulan liberal G25 ini.

“G25 juga terkenal dengan pendirian untuk menghapuskan institusi agama Islam (khususnya JAKIM), melarang tangkapan khalwat kerana ia adalah dosa peribadi, mahu hukuman khalwat dimansuhkan, menyokong aktiviti seks bebas dan minuman keras, menolak fatwa serta ulama, menyokong Malaysia sebagai Negara Sekular dan sebagainya lagi,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penubuhan kumpulan liberal G25, Muhammad Rashidi menjelaskan bahawa G25 merupakan kumpulan pesara tinggi kerajaan yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan Melayu terulung. Awal penubuhan kumpulan G25 ini, jumlah keanggotaan mereka dikatakan seramai 25 orang sahaja, namun pemerhatian terkini menunjukkan bahawa jumlah anggota G25 telah melebihi 50 orang. Jurucakap G25 adalah Datuk Noor Farida Ariffin.

Menurut Muhammad Rashidi lagi, “Kemunculan awal G25 bermula pada 7 Disember 2014 apabila mereka mengeluarkan surat terbuka kepada rakyat Malaysia. Kandungan surat bertujuan untuk membantah pemerkasaan undang-undang Syariah di Malaysia yang didakwa oleh mereka adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Surat tersebut juga sebagai tindak balas kepada usaha kerajaan yang telah membentuk Jawatankuasa Teknikal Hudud pada 17 Julai 2014.”

Untuk rekod, fahaman liberalisme dan pluralisme ini telah difatwakan sebagai sesat serta menyeleweng dari syariat Islam oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sejak 2006 lagi. Manakala Sisters in Islam (SIS) pula difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor pada tahun 2014.

Comments