Home Tempatan Paderi Lapor Polis Ajaran Sesat Masuk Unisza

Paderi Lapor Polis Ajaran Sesat Masuk Unisza

SHARE

Kuala Terengganu, Terengganu: Satu laporan polis mengenai penyebaran ajaran sesat Kristian di sekitar Kuala Terengganu yang menyasarkan siswazah universiti telah dibuat pada 23 November 2017 yang lalu.

Menurut paderi yang membuat pengaduan, Chan Mung Koon, penyebar ajaran agama yang menggunakan nama ‘Mother of God’ itu didapati aktif di kawasan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada awal bulan November, tetapi ajaran mereka terpesong walaupun dari perspektif agama Kristian dan merosakkan akhlak pengikutnya.

“Sekumpulan pemuda berbangsa Cina yang berjumlah 7 orang lelaki dan perempuan telah menggunakan alasan menemuramah siswazah universiti untuk tujuan Projek Kajian Akhir Tahun mereka. Semasa dalam perbualan dengan siswazah universiti tempatan, mereka ambil kesempatan untuk menyebar ajaran agama yang dibawa mereka. Perkara ini berlaku di perkarangan universiti dan sekitar kawasan universiti yang mana jadi tumpuan siswazah.”

Kata Chan Mung Koon lagi, siswazah-siswazah yang berjaya dipujuk akan dibawa ke sebuah rumah sewa yang terletak di Kuala Nerus bagi menjalani upacara agama tersebut. Manakala, bagi mereka yang ingkar pula, mereka akan diugut dengan ancaman malapetaka yang akan menimpa diri mereka dan keluarga mereka.

Sehubungan dengan itu, Chan Mung Koon menggesa pihak polis menjalankan siasatan secepat mungkin sebelum perkara ini bertambah buruk apatah lagi terdapat laporan yang mengatakan penyebaran ajaran agama sesat itu telah pun bergiat aktif di kawasan Giant Hypermarket, Kampung Cina dan Pasar Pagi Kampung Tiong.

“Saya minta polis menjalankan siasatan seberapa segera, supaya gejala ini dapat dihentikan sebelum ia menjadi satu masalah sosial yang mengancam keselamatan orang ramai. Saksi-saksi dari universiti bersedia untuk memberi maklumat dan kerjasama kepada pihak polis dalam menangani masalah ini,” tegasnya lagi.

 

Comments