Home Tempatan Orang bukan Islam mula faham

Orang bukan Islam mula faham

SHARE

KUANTAN – Perjuangan Pas untuk meminda Rang Undang-undang (RUU) 355 semakin diterima baik berdasarkan sambutan untuk menyertai himpunan, Sabtu ini.

Ketua Pemuda Pas Kuantan, Fadhi Ibrahim berkata, setiap kali kempen penerangan RUU 355 diadakan di sekitar daerah ini,  sambutan diterima amat menggalakkan, bukan hanya orang Islam tetapi bukan Islam juga sudah mula faham mengenai akta itu.

Menurutnya, masyarakat bukan Islam kini semakin positif menerima RUU 355 yang diperjuangkan oleh Pas, selepas sesi dan kempen penerangan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh daerah.

“Sekarang ini  kita masih meneruskan berkempen dan meminta orang ramai hadir dalam himpunan RUU 355 yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Sabtu ini. Malah sudah ada dalam kalangan mereka menyatakan kesediaan untuk ke sana.

“Kita nampak aura positif daripada semua pihak dan rakyat. Ini membuktikan mereka sudah mula faham selepas sesi penjelasan mengenai RUU 355 yang disampaikan kepada mereka.

“Penerangan yang kita sampaikan bukan saja melalui ceramah-ceramah dalam masjid tetapi ada juga menerusi anjuran majlis di seluruh daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Flashmob yang diadakan di Tanah Putih di sini, semalam.

Lebih 60 peserta terlibat membawa sepanduk dengan slogan ‘Kami Rakyat Pahang sokong pindaan RUU 355’ sebagai tanda bersetuju untuk menghadiri perhimpunan tersebut.

Peserta Flashmob turut melaungkan beberapa perkataan seperti “RUU 355…RUU 355..Sokong.. sokong..sokong” sebanyak tiga kali.

Fadhi berkata, program itu  diadakan bagi memastikan rakyat  turut serta dalam himpunan tersebut kerana  RUU 355 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mac ini.

Katanya, setakat ini Pas sudah berpuas hati dengan sokongan yang diterima oleh masyarakat di daerah ini.

Sinar Online

Comments