Home Tempatan Olimpik Tokyo peluang perluas industri halal

Olimpik Tokyo peluang perluas industri halal

SHARE
LAKARAN artis stadium Olimpik Tokyo 2020.

Keakraban hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun tidak boleh disangkal lagi bermula sejak kemerdekaan negara pada 1957. Bahkan sejak 1982, lebih 14,000 rakyat Malaysia belajar di Jepun sama ada di universiti, institusi latihan, syarikat dan badan korporat.

Saya bersama 24 pegawai pelbagai kementerian dan agensi kerajaan berpeluang menimba ilmu dan pengalaman berkursus di bawah Japan International Cooperation Centre (JICE) pada 31 Januari hingga 8 Februari lalu di Tokyo, Tomioka dan Gunma.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah focal point kepada program ini yang diadakan secara tahunan membabitkan belia dalam pelbagai segmen latihan, antaranya ekonomi, pengurusan bencana, teknologi dan kemasyarakatan. Rata-rata dalam kalangan kami adalah belia yang meniti usia kanak-kanak era 1990-an amat rapat dengan negara Jepun terutama pengaruh siri animasi dan aksi seperti Super Mario, Desh Yengkuro, Suria Perkasa Hitam dan Ultraman.

Ini menjadikan kami teruja menimba ilmu berkaitan urus tadbir perkhidmatan awam di negara matahari terbit itu. Namun, penulisan ini akan membincangkan mengenai peluang pasaran industri halal di Jepun menjelang Olimpik Tokyo 2020. Fokus ini juga menjadi dapatan utama yang dibentangkan kepada pihak JICE, Kementerian Luar Negara Jepun dan wakil Kedutaan Malaysia di Jepun yang hadir mendengar pembentangan akhir kursus ini.

Saya mulakan dengan reaksi keterujaan rakyat Jepun untuk menganjurkan temasya Sukan Olimpik 2020 sangat terserlah dengan pelbagai papan tanda, logo dan promosi giat dijalankan. Selain itu, persediaan dari aspek fasiliti, kemudahan sukan dan landskap bandar memberi isyarat bahawa Tokyo sudah bersedia menerima tetamu seluruh dunia pada 2020. Daripada statistik kehadiran atlet di Sukan Olimpik Rio 2016, seramai 10,500 atlet dari 206 negara dan 600,000 pelancong masuk ke Brazil seolah-olah menjangkakan Tokyo akan menerima pengunjung 700,000 orang.

Daripada jumlah itu, dijangkakan 30 peratus atlet dan pelancong negara Islam seluruh dunia. Bukan itu sahaja, pertambahan pelancong Muslim yang masuk ke Jepun semakin bertambah tahun ke tahun memandangkan jumlah penduduk Muslim di dunia adalah 2.8 bilion dan ini memerlukan kepada perkhidmatan mesra Muslim, terutama makanan halal.

Sebagai sebuah negara Islam yang progresif dengan pembangunan ekonomi yang konsisten dan kadar pertumbuhan serta kestabilan politik dan sosial, Malaysia adalah peneraju dalam industri halal di dunia. Kejayaan Malaysia sebagai perintis dalam industri halal bermula pada 1974 apabila Pusat Penyelidikan Bahagian Hal Ehwal Islam di Pejabat Perdana Menteri yang kini dikenali Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mula memberi surat pengesahan halal kepada produk yang memenuhi kehendak syarak.

Piawaian halal diurus sepenuhnya oleh JAKIM pada 2002, menjadi titik tolak peristiwa penting bagi Malaysia kerana ia menjadi negara pertama mempunyai sistem persijilan halal yang didokumenkan secara sistematik. Piawaian ini juga menjadi transformasi baru yang mengubah paradigma halal, daripada industri kecil kepada kehendak pasaran ekonomi baru dengan nilai pasaran global yang meluas.

Sudah tentu pasaran yang lebih luas sedang diterokai oleh Jepun dengan nilai tambah kepada perkhidmatan pelancongan melalui industri halal dan pelancongan mesra Muslim.

Kunjungan hormat

Kunjungan hormat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menemui rakan sejawat, Shinzo Abe pada akhir tahun lalu menawarkan kepakaran industri halal kepada Jepun dalam kerangka meningkatkan kerjasama dua hala khususnya bagi sektor pelancongan. Tawaran dan saranan itu tepat pada masanya kerana keperluan serta kehendak pelanggan yang tinggi ditambah pula dengan temasya sukan terbesar di dunia akan berlangsung tiga tahun lagi.

Sejak dahulu lagi, Jepun sangat terkenal dengan industri berasaskan teknologi, permotoran dan kini industri pelancongan sedang berkembang pesat. Atmosfera industri ini semakin membesar kerana pada pengamatan kami, Jepun sedang giat mempromosikan sektor pelancongan.

Kami dibawa melawat satu daripada tempat Warisan Dunia yang didaftarkan bawah UNESCO, iaitu Tomioka Silk Mill. Tomioka Silk Mill (TSM) adalah kebanggaan negara Jepun kerana menjadi batu loncatan kepada era modenisasi Jepun dalam industri pembuatan sutera selepas Perang Dunia ke-2. TMS mula beroperasi pada 1872 dan berakhir pengoperasiannya pada 1987.

Alasan penutupan TMS kerana persaingan negara lain yang menembusi industri pengeluaran sutera dengan harga dan kos lebih murah. Apabila ditanya mengapa tidak Jepun membangunkan semula industri ini dengan teknologi lebih hebat, kos lebih murah dan berkualiti tinggi kerana kemampuan teknologi Jepun tidak mustahil ia boleh dibangunkan kembali.

Menarik jawapan Timbalan Pengarah, Jabatan Pewarisan Dunia ialah kos untuk mengendalikan mesin, membayar gaji pekerja dan kos operasi sangat tinggi berbanding hanya membayar beberapa pengawal keselamatan, pemandu pelancong dan berjaya menarik 1.1 Juta pelancong setahun dengan nilai RM35 juta setahun melalui penjualan tiket, kadar parkir dan perniagaan kecil sederhana di kawasan sekitar.

Ketika ini, Jepun sudah mempunyai 20 tempat warisan dunia didaftarkan dengan UNESCO dan lapan tapak lain dalam proses pendaftaran.

Perkembangan ini amat menarik untuk ditonjolkan apabila melihat negara kuasa dunia sedang memperluas empayar melalui industri pelancongan dan makanan. Ini secara tidak langsung membuka ruang kerana negara membangun seperti Malaysia untuk mengambil peluang bagi meningkat pertumbuhan ekonomi negara terutama dalam industri halal yang sedang dipelopori Malaysia.

Pengiktirafan dan keyakinan pasaran global kepada standard halal Malaysia mampu melonjak Malaysia ke arah negara maju ranking 20 teratas terbaik di dunia menjelang tahun 2050 sejajar dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Penulis adalah Penolong Pengarah, Unit Indeks Syariah Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Berita Harian

Comments