Home Tempatan Olimpik Tokyo 2020 tingkat industri produk halal

Olimpik Tokyo 2020 tingkat industri produk halal

SHARE

JOHOR BAHRU: Penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijangka menerima kedatangan 20 juta pelancong, berpotensi meningkatkan lagi eksport produk halal ke negara itu.

Sehubungan itu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mahu usahawan negara ini mengambil peluang itu bagi menembusi industri halal ke Jepun.

Pengerusinya, Datuk Noraini Ahmad, berkata daripada 20 juta pelancong yang dijangka mengunjungi Jepun sempena Sukan Olimpik 2020, sejuta daripadanya adalah pelancong Muslim.

“Kehadiran ramai pelancong Islam itu secara tidak langsung meningkatkan lagi permintaan pelbagai produk halal terutama makanan dan ini perlu diambil peluang oleh usahawan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Peluang Perniagaan Industri Halal di Jepun, di Perbadanan Usahawan Johor (EDC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Jepun (JETRO), Akira Kajita dan Pengarah MATRADE Wilayah Selatan, Raphy Md Radzi.

Noraini berkata, pada masa ini empat sektor utama produk yang mendapat permintaan tinggi di Jepun ialah produk makanan dan minuman, hasil minyak sawit serta kosmestik.

“Program antarabangsa ini (Sukan Olimpik) memberi banyak peluang perniagaan dan saya berharap syarikat Malaysia akan merebut peluang keemasan untuk mengeksport dan meneroka perniagaan baharu di Tokyo, terutama dalam industri makanan halal,” katanya.

Selain itu beliau berkata, industri produk halal mendapat permintaan tinggi di Jepun yang mempunyai kira-kira 150,000 penduduk beragama Islam dengan sektor makanan halal sentiasa meningkat.

Berita Harian

Comments