Home Tempatan OIC perkukuh kerjasama, selamatkan warisan Islam

OIC perkukuh kerjasama, selamatkan warisan Islam

SHARE
Organisation of Islamic Cooperation (OIC)

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengukuhkan kerjasama dengan institusi dan negara anggota serta rakan kongsi antarabangsa lain seperti Perancis dan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) bagi membangunkan perancangan praktikal memelihara pelbagai bentuk Warisan Budaya Islam.

Setiausaha Agung OIC Dr Yousef Al-Othaimeen berkata, usaha memulihara, melindungi dan memperkayakan warisan budaya Islam berupaya menyumbang menangani fenomena memutarbelitkan imej Islam dan menyekat serangan keganasan  dilakukan akibat kebencian terhadap Islam.

Terdapat juga keperluan mengeksploitasi pemeliharaan warisan budaya untuk menyebarkan nilai dan toleransi dalam agama sebagaimana terdapat dalam sejarah menerusi budaya dan bukti saintifik yang terus subur di dunia Islam, katanya menerusi kenyataan yang terdapat dalam laman web OIC.

Beliau berkata demikian pada sesi pembukaan simposium “Memelihara dan Melindungi Warisan Budaya Di Negara Anggota OIC”.

Simposium dua hari itu berlangsung di Jeddah pada Ahad, anjuran bersama OIC dan Perancis.

Ucapan beliau dibacakan Penolong Setiausaha Agung Hal Ehwal Kemanusiaan, Kebudayaan dan Sosial, Hesham Youssef.

Peganjuran simposium berkenaan tepat pada masanya memandangkan dunia Islam kini sedang berdepan konflik dan peperangan yang menjejaskan warisan budaya Islam yang membawa kemusnahan arkeologi dan sejarah, tambah kenyataan itu.

Ia juga satu langkah ke arah mempromosi budaya kerja OIC selain sebagai persediaan menganjurkan persidangan antarabangsa pada November 2017 dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Islam  (ISESCO) dan Pusat Penyelidikan Sejarah, Kesenian  dan Kebudayaan Islam (IRCICA).

Pada simposium berkenaan ISESCO, IRCICA, Jawatankuasa Hal Ehwal Tetap Penerangan dan Kebudayaan (COMIIAC) dan Unesco serta pakar jemputan berkongsi pengalaman masing-masing berkaitan perlindungan warisan budaya di dunia Islam. – Bernama

Sinar Online

Comments