Home Antarabangsa OIC kesal serangan anti-Islam di Sri Lanka

OIC kesal serangan anti-Islam di Sri Lanka

Setiausaha agung OIC menggesa pihak berkuasa Sri Lanka menguatkuasakan undang-undang dan menyiasat kejadian serangan untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan.

SHARE

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyatakan sokongan penuh terhadap masyarakat Islam di Sri Lanka, ekoran peningkatan serangan keganasan pihak pelampau yang menyebabkan penduduk hidup dalam ketakutan dan saling tidak mempercayai.

Setiausaha Agung OIC Dr Yousef Al-Othaimeen dalam satu kenyataan berkata, OIC kesal dan bimbang mengenai insiden serangan di kawasan kediaman, perniagaan serta masjid sebagaimana dilaporkan media baru-baru ini.

Menurut media Sri Lanka, sejak April lalu lebih 20 perniagaan milik orang Islam dan masjid di seluruh negara diserang.

Galagoda Aththe Gnanasara, pemimpin kumpulan radikal Bodu Bala Sena (BBS), sebuah pertubuhan nasionalis Buddha Sinhalese berpangkalan di Colombo dituduh sebagai dalang menggalakkan serangan dan dikehendaki pihak berkuasa Sri Lanka.

Al-Othaimeen menggesa pihak berkuasa Sri Lanka menguatkuasakan undang-undang dan menyiasat kejadian serangan untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan serta pada masa sama menyeru hubungan tenang dan damai antara kaum dikekalkan.

Beliau berkata masyarakat Islam Sri Lanka sejak sekian lama hidup dalam keadaan aman dan harmoni serta menyumbang dalam ekonomi dan kebudayaan negara.

Kurang 10% daripada jumlah keseluruhan 20 juta penduduk Sri Lanka terdiri penganut Islam manakala majoritinya ialah penganut Buddha Sinhala.

Pada 2014, rusuhan anti-Islam menyaksikan 4 penduduk maut, 80 cedera dan ratusan lagi hilang tempat tinggal selepas masjid, rumah dan kedai diserang yang didakwa dilakukan kumpulan BBS.

Free Malaysia Today

Comments