Home Antarabangsa OIC gesa Myanmar benar PBB siasat isu Rohingya

OIC gesa Myanmar benar PBB siasat isu Rohingya

SHARE

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk kerajaan Myanmar atas ‘tindakan ganas secara sistematik’ terhadap kaum minoriti Islam Rohingya dan meminta kerajaan negara itu membenarkan misi pencarian fakta oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pertubuhan itu mahu badan antarabangsa itu menyiasat semua pelanggaran undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan membawa pelaku kekejaman terhadap masyarakat Rohingya itu ke muka pengadilan.

Keputusan itu dibuat oleh anggota OIC pada mesyuarat ketua-ketua negara dan anggota negara badan itu di luar Sidang Kemuncak Sains dan Teknologi OIC di Astanam, Kazakhstan, Ahad.

Mesyuarat itu juga menyatakan kebimbingan serius terhadap kekejaman sistematik tentera Myanmar terhadap masyarakat Rohingya di negara itu yang menyebabkan lebih 270,000 penduduk Islam itu melarikan diri ke Bangladesh.

Mesyuarat itu menggesa kerajaan Myanmar mengatasi punca sebenar kepada masalah itu termasuk penafian hak kewarganegaraan yang telah menyebabkan golongan itu tanpa negara dan penafian kepada hak-hak mereka.

Menurut laporan ringas Pengerusi OIC pada mesyuarat itu, badan Islam itu turut menggesa kerajaan Myanmar mengambil langkah-langkah segera bagi membolehkan pelarian Rohingya kembali semula ke wilayah mereka di Rakhine.

Mesyuarat itu juga mengalu-alukan syor oleh Suruhanjaya Penasihat Mengenai Rakhine yang diketuai bekas setiausaha agung PBB, Kofi Annan.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Sinar Online

Comments