Home Surat Normalisasi Hak LGBT Bakal Cabar Hak Ibu Bapa Dan Beragama

Normalisasi Hak LGBT Bakal Cabar Hak Ibu Bapa Dan Beragama

SHARE

Mutakhir ini, negara kita berdepan dengan perbahasan serta diskusi mengenai gaya hidup Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT). Pada 19 Februari 2018, International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) telah mendedahkan, memetik sumber daripada Unit HIV / AIDS, Kawalan Penyakit Berjangkit dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, bahawa pada tahun 2017, seramai 14 daripada 15 orang penuntut di sebuah universiti awam yang terlibat dalam kes HIV / AIDS adalah merupakan pengamal homoseksual dan biseksual.

Sesungguhnya, pendedahan ini merupakan satu berita mengejutkan bagi pengamal bidang perubatan dan kesihatan. Walau bagaimanapun, normalisasi LGBT ini juga mampu memberi kesan konflik baharu di negara kita khususnya daripada aspek perundangan. Seksyen 377A, 377B dan 377C di bawah Kanun Keseksaan telah memperuntukkan bahawa perlakuan amalan seks luar tabie samada secara sukarela mahupun paksa adalah satu kesalahan jenayah dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Undang-undang Negeri dan Wilayah Persekutuan turut memperuntukkan kesalahan jenayah syariah liwat seperti Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 13 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sarawak) 1991. Amalan gaya hidup LGBT sememangnya tidak diterima oleh ajaran Islam, apatah lagi diamalkan secara terbuka oleh masyarakat Timur.

Konflik baharu

Namun demikian, tuntutan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia (COMANGO) yang mendukung fahaman liberalisme dan sekularisme berkumandang sekitar tahun 2013. Mereka telah mengemukakan tuntutan melalui Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan pada 24 Oktober 2013 agar kerajaan Malaysia mengiktiraf orientasi seksual dan identiti jantina (SOGI).

Namun, isu LGBT ini bukan hanya terhad kepada kehidupan atau peribadi seseorang individu atau pengamal LGBT. Di Amerika Syarikat, perkahwinan sejenis telah diiktiraf oleh Mahkamah Agung di dalam kes Obergefell v Hodges pada tahun 2015 yang disambut baik oleh komuniti LGBT seluruh dunia. Ini diikuti dengan mahkamah perlembagaan Taiwan yang mengesahkan perkahwinan sejenis pada 27 Mei tahun lalu dan terkini, Australia yang mengubah perkataan “the union of a man and woman”kepada “the union of two people” pada hujung tahun 2017.

Walau bagaimanapun, pengiktirafan hak LGBT ini menimbulkan konflik baharu yang bukan sahaja menambahkan kecelaruan nilai dan pegangan, bahkan menimbulkan pertembungan hak dan kebebasan. Seperti contoh, Mahkamah Rayuan di Oregon pada 28 Disember 2017 telah menafikan hak beragama dua orang Kristian yang mengusahakan sebuah kedai kek iaitu Aaron dan Melissa Klein apabila mereka berdua didapati bersalah kerana mendiskriminasi serta mencabuli hak pasangan lesbian kerana enggan menerima tempahan kek sehingga didenda $135,000.

Pada tahun 2015, seorang kerani pejabat kerajaan di Kentucky, Amerika Syarikat telah dikenakan hukuman denda dan penjara lima hari akibat keengganan beliau mengeluarkan sijil perkahwinan bagi pasangan homoseksual kerana kepercayaan agama beliau iaitu Kristian.

Keruntuhan institusi keluarga

Bukan sahaja ia mengakibatkan pertembungan hak, ia juga boleh menjurus ke arah keruntuhan institusi keluarga. Contohnya, Mahkamah Juvana Daerah Hamilton, Amerika Syarikat telah menyerahkan hak penjagaan ke atas seorang remaja berusia kurang 18 tahun kepada datuk dan nenek lantas memisahkan remaja tersebut daripada ibu bapa kandungnya. Ini disebabkan oleh pendirian ibu bapa remaja tersebut yang tidak bersetuju dengan permintaan anaknya bagi mengubah jantina melalui terapi hormon.

Kes tersebut membawa unsur yang destruktif terhadap institusi dan autonomi sesebuah unit keluarga yang terdiri daripada ibu, bapa dan anak-anak. Walaupun usia anak-anak tersebut masih di bawah 18 tahun, hak sebagai ibu bapa kandung yang bertanggungjawab mencurahkan kasih sayang dan memberikan didikan moral mahupun agama selama belasan tahun kepada anak-anak mereka telah dinafikan semata-mata kerana desakan fahaman dan gaya hidup LGBT.

Khususnya, ketika mana anak-anak sedang membesar, mengenali diri dan mencari erti hidup serta membina jati diri, sikap agresif pendukung hak LGBT telah membangkitkan satu prasangka terhadap anak-anak dan remaja yang kelihatan cenderung kepada perwatakan jantina yang berlawanan.

Akhirnya, mereka begitu mudah mendakwa bahawa anak-anak ini tergolong dalam kelompok transgender yang ingin menukar jantina sehingga anak-anak yang belum matang dan cukup membesar ini menjadi mangsa ideologi yang diselindungi dengan konsep kepentingan anak-anak atau “in the best interest of child”. Akibatnya, ibu bapa tidak lagi berperanan mencorak identiti dan kehidupan anak-anak mereka sendiri.

Situasi yang sama turut bakal dihadapi oleh ibu bapa yang mahu mengambil anak angkat. Dengan peningkatan penerimaan golongan LGBT, ibu bapa yang berpegang teguh kepada ajaran agama mereka boleh menjadi asbab kepada penafian hak mereka untuk mengambil anak angkat, walaupun melalui prosedur yang sah disisi undang-undang.

Leraikan salah faham

Perkembangan hak LGBT yang berlaku di negara luar wajar dijadikan sempadan sebelum pihak kerajaan mengadaptasi cadangan atau tunduk dengan arus LGBT yang menjadi arus perdana di seantero dunia. Hal ini kerana, ia bukan sahaja memberi kesan terhadap individu LGBT ini, bahkan ia akan memberi kesan dari sudut kesihatan, undang-undang dan institusi keluarga sekiranya tidak dibendung dari sekarang.

Aktivis LGBT sering mengutarakan tuduhan serta gambaran yang meleset mengenai pandangan dan layanan masyarakat terhadap golongan minoriti ini. Hakikatnya, pihak kerajaan termasuklah jabatan agama Islam negeri sentiasa memberi peluang demi pembangunan sosio-ekonomi dan pewujudan persekitaran yang kondusif bagi golongan LGBT.

Oleh Danial Ariff Shaari

Aktivis Ikatan Peguam Muslim Malaysia (iPeguam), sebuah NGO gabungan dalam MACSA. Pandangan yang dilontarkan adalah dari penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Menara.my.

Comments