Home Tempatan Nik Abduh bantah keras RUU halang tukar agama anak

Nik Abduh bantah keras RUU halang tukar agama anak

SHARE

PETALING JAYA: PAS menggesa umat Islam menolak pindaan rang undang-undang (RUU) meminda undang-undang perkahwinan dan perceraian bagi menghentikan pertukaran agama anak secara sebelah pihak.

Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata pindaan RUU itu jelas bukan bertujuan menambah baik, tetapi meruntuhkan kebaikan sedia ada, merosakkan akidah dan menyekat umat Islam mengamalkan hukum syariah untuk diri dan keluarga.

“Umat Islam wajib bersatu menolak pindaan Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164). Umno bertanggungjawab sepenuhnya di hadapan Allah jika pindaan Akta ini diluluskan,” kata Nik Abduh dalam satu kenyataan.

Pindaan itu bertujuan menyelesaikan konflik penjagaan anak yang timbul selepas ibu atau bapa memeluk Islam, dan dibentangkan di Parlimen November lalu.

Susulan itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan memberi jaminan PAS tidak campur tangan dengan usaha menghentikan pertukaran agama anak sebelah pihak, dengan syarat ahli Parlimen bukan Islam tidak membantah RUU yang diusulkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

“Jika mereka (bukan Islam) mahu bantah undang-undang yang akan hanya memberi kesan kepada Muslim, maka kami (orang Islam) juga boleh menentang cadangan pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian),” kata Takiyuddin pada November lalu.

Persetujuan 2 pihak

RUU Undang-undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 2016 dicadangkan susulan beberapa kes berebut hak jagaan anak yang dibawa ke mahkamah apabila pasangan yang memeluk Islam menukar agama anak tanpa kebenaran bekas suami atau isteri.

Ia akan membenarkan hanya mahkamah sivil menentukan perkara membabitkan perkahwinan sivil, walaupun jika salah seorang daripada pasangan sudah memeluk Islam.

Pindaan termasuk Seksyen 88A yang baharu, iaitu “kedua-dua pihak” dalam perkahwinan sivil perlu bersetuju untuk menukarkan agama anak bawah umur kepada Islam.

Sebelum ini, peguam Haniff Khatri Abdulla turut membantah pindaan akta itu yang dianggap mungkin terbatal dan tidak sah kerana ia bercanggah dengan perundangan Islam.

Haniff berkata menurut Islam, apabila seorang ibu atau bapa memeluk Islam, anaknya akan secara automatik menjadi Muslim jika belum akil baligh.

“Sebarang pindaan kepada Akta 164 yang tidak mematuhi perundangan Islam, dalam situasi itu, akan terbatal dan tidak sah,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments