Home Tempatan NGO rayu DBP pastikan terjemahan ‘god’ tepat, elak kekeliruan

NGO rayu DBP pastikan terjemahan ‘god’ tepat, elak kekeliruan

SHARE

KUALA LUMPUR: Sebuah gabungan NGO Islam merayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengisytiharkan terjemahan perkataan “god” yang tidak akan mengelirukan pengguna bahasa Melayu atau menghina Islam.

Gabungan Perikatan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN) hari ini berkata DBP perlu “mengambil pendirian tegas” bagi mengalakkan “penggunaan bahasa kebangsaan yang betul” dan mengikut undang-undang berkaitan agama yang sedang berkuat kuasa.

“Dengan pengisytiharaan ini, kami berpendapat keresahan dalam kalangan umat Islam di Malaysia dan rasa tidak harmoni dan kurang persefahaman di antara penganut agama dapat di atasi,” kata Pengerusi ACCIN Mohd Jamaludin Shamsudin.

Jamaludin sebelum itu bersama 5 orang ahli majlis ACCIN mengadakan pertemuan lebih sejam dengan Ketua Pengarah DBP Datuk Abdul Adzis Abas dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran di DBP.

Pencarian FMT di laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu kelolaan DBP menterjemahkan “god” sebagai Tuhan atau tuhan dan dewa.

Dalam rayuan mereka, gabungan itu berkata “terjemahan tepat” penting bagi membolehkan pengunaan bahasa kebangsaan secara meluas bagi segala maksud, selaras dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) tanpa mencetuskan perselisihan antara orang Islam dan bukan Islam.

“Contohnya penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam doktrin keagamaan yang lain seperti ‘trinity’ berbanding yang ‘Esa’ boleh membawa kepada kekeliruan dan berbentuk penghinaan,” katanya.

Dalam masa yang sama Jamaludin berkata isu mengenai kalimah Allah masih belum reda dan masih terdapat kekeliruan dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam.

“Di mana kekeliruan ini berpunca dari tak mahu menerima keputusan Mahkamah dalam kes The Herald (Catolic Weekly),” katanya, dan mendakwa institusi bahasa itu sedia tampil memberi penjelasan mengenai terjemahan kalimah Allah kepada mahkamah apabila diperlukan.

Pada 21 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menolak permohanan Gereja Roman Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Kementerian Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah “Allah” dalam penerbitan Herald edisi Bahasa Malaysia.

Free Malaysia Today

Comments