Home Tempatan NGO Mahu Namewee Dikenakan Tindakan Keras

NGO Mahu Namewee Dikenakan Tindakan Keras

SHARE

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA) mahu agar penyanyi Namewee dikenakan tindakan yang keras susulan memperlekehkan dan tidak menghormati agama terutamanya agama Islam dalam video-video dan nyanyiannya.

Menurut Yang Dipertua PERTAMA Datuk Wira Hj As’ari Hj Ibrahim, video yang dimuat naik Namewee pada 28 Oktober lalu jelas memperlekehkan agama yang mengharamkan perlakuan homoseksual.

Dalam video tersebut Namewee sengaja mempersoalkan “Adakah homoseksual itu satu penyakit?”, “Salahkah homoseksual di sisi agama?” dan “Bukankah jika berhak memilih pasangan berlainan jantina maka hak untuk memilih ‘homoseksual’ juga adalah bebas?”

Tambah Datuk Wira Hj As’ari, agama Islam sudah jelas termaktub sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagan Negara, selaras dengan perkara satu Rukun Negara, ‘Kepercayaan kepada Tuhan’.

Bahkan, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong juga telah bersumpah untuk memelihara agama Islam pada setiap masa. Oleh yang demikian, jelas bahawa Islam melarang perlakuan homoseksual.

“Persoalan-persoalan berikut (oleh Namewee) jelas mencabar sumpah jawatan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang telah bersumpah akan memelihara agama Islam. Walaupun individu ini tidak menyebutkan secara terang mengenai agama Islam yang melarang homoseksual, tetapi setiap apa yang dilontarkan dalam video tersebut secara umum kita boleh tafsirkan ianya dituju kepada agama Islam iaitu Agama Persekutuan.”

“Oleh itu, PERTAMA menyangkal semua tindakan individu ini dengan sekerasnya serta menyarankan supaya tindakan sewajarnya diambil ke atas golongan atau individu-individu yang berfahaman seperti ini,” tegas Datuk Wira Hj As’ari.

Namewee baru-baru ini mendakwa dalam videonya bahawa Tuhan yang melarang perbuatan homoseksual adalah Tuhan dari agama yang sesat.

Comments