Home Antarabangsa NGO Islam AS iklankan doa untuk Yahudi

NGO Islam AS iklankan doa untuk Yahudi

Sebanyak 22 pertubuhan Islam dinamakan dalam iklan itu, termasuk masjid, sekolah dan pusat masyarakat di Minnesota

SHARE

PETALING JAYA: Pimpinan pertubuhan Islam di negeri Minnesota, AS bersimpati dan mendoakan keselamatan orang Yahudi yang menjadi sasaran kebencian, termasuk ancaman bom.

Pesanan mereka disampaikan melalui iklan separuh halaman di akhbar Star Tribune semalam.

Ia susulan ancaman bom menyasarkan pusat masyarakat Yahudi di seluruh negara sejak beberapa minggu lalu.

Siasatan pihak berkuasa tidak menemui sebarang perbuatan mencurigakan, namun orang ramai yang menggunakan pusat masyarakat itu untuk kelas kemahiran, jagaan kanak-kanak dan aktiviti riadah berasa terkejut.

“Kami berdoa semoga Tuhan melindungi kita dari kebencian, ketaksuban dan ketidakadilan.

“Doa kami bersama anda dan anda mendapat sokongan kami,” menurut iklan itu.

Sebanyak 22 pertubuhan Islam dinamakan dalam iklan itu, termasuk masjid, sekolah dan pusat masyarakat di ibu negeri Saint Paul dan bandaraya Minneapolis.

Pertubuhan Islam di Minnesota dan seluruh negara menjadi sasaran kebencian sejak sekian lama, termasuk perbuatan membakar terhadap masjid, kerosakan harta dan conteng.

Sebelum ini, bancian kumpulan hak asasi manusia, Southern Poverty Law Centre mendapati jumlah kumpulan pembenci di AS meningkat secara mendadak 2 tahun berturut-turut pada 2016.

Free Malaysia Today

Comments