Home Tempatan NGI Semakin Berpengaruh Corak Trend Pengundi Islam – Pengarah Pusat Penyelidikan PAS

NGI Semakin Berpengaruh Corak Trend Pengundi Islam – Pengarah Pusat Penyelidikan PAS

SHARE

KUALA LUMPUR: Pusat Penyelidikan PAS (PPP) yakin bahawa pengaruh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh individu (NGI) semakin penting dalam mencorakkan trend pengundian pengundi Islam dan Melayu dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Menurut Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Pengarah PPP, pembongkaran isu terbaru berkaitan Gerakan Evangelikal Kristian yang bersifat ekstrim dan melampau oleh pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff telah mendapat perhatian pengundi-pengundi Islam sekaligus menunjukkan pengaruh NGI semakin signifikan.

Pembongkaran Gerakan Evangelikal Kristian ini dilihat berupaya membentuk fenomena yang sama seperti apa yang berlaku terhadap Ahok, bekas Gabenor Jakarta di Indonesia yang kalah dalam pilihanraya Gabenor tahun ini setelah ditentang oleh umat Islam Indonesia diketuai oleh tokoh agama bernama Habib Riziq.

Sebelum pembongkaran isu evangelikal Krisitian, NGO-NGO Islam pernah membentuk satu gelombang besar-besaran untuk menyokong usaha mendaulat dan memperkasakan perundangan Syariah di negara ini. Himpunan RUU355 yang diadakan di Padang Merbok beberapa bulan yang lalu menjadi mercu tanda penting solidariti NGO-NGO Islam dan Melayu yang akhirnya berupaya untuk membentuk sikap politik dalam kalangan pengundi Islam dan Melayu.

Sekiranya fenomena ini berterusan, PPP yakin NGO dan NGI Islam dan Melayu boleh memainkan peranan seumpama HINDRAF, SUQIU dan yang seumpamanya yang telah mencorakkan trend pengundian pengundi India dan Cina dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini dengan syarat mereka mampu mengatur gerakan secara konsisten dalam isu yang disuarakan.

Comments