Home Pendapat Nelson Mandela dan Perjuangan Hak Asasi Manusia

Nelson Mandela dan Perjuangan Hak Asasi Manusia

SHARE

Nelson Mandela, sosok tubuh yang dikenali sebagai tokoh pejuang anti-apartheid di Afrika Selatan. Setelah meringkuk dalam penjara selama 27 tahun kerana perjuangannya dalam menentang diskriminasi perkauman yang menjadi dasar kepada sistem negara Afrika itu, akhirnya pada tanggal 2 Februari 1990, beliau dibebaskan dan dibenarkan untuk berpolitik tanpa apa-apa halangan.

Peristiwa ini telah mendapat liputan luas dan menjadi perhatian seluruh dunia. Hampir seluruh hidupnya berjuang memecahkan tembok ektremisme, rasisme, diskriminasi dan penindasan ke atas kaum kulit hitam sehinggalah beliau menjadi Presiden pertama Afrika Selatan pada tahun 1994.

Dasar apartheid yang dibawa bangsa kulit putih ini telah mematikan hak kebebasan dan meragut hak kemanusian yang sepatutnya diperolehi oleh setiap warganegara di negara tersebut. Segala bentuk diskriminasi perkauman dihalalkan melalui undang-undang agar minoriti bangsa kulit putih mendominasi ke atas bangsa kulit hitam. Layanan kejam dan zalim dasar apartheid terhadap golongan kulit hitam seolah-olah seperti merekalah pendatang yang merempat di negara sendiri. Kepentingan mereka sebagai manusia dan penduduk peribumi terus dinafikan.

Namun, keadaan ini jelas berbeza dengan Malaysia di mana hak asasi manusia diberikan seadilnya kepada semua yang berstatus warganegara walaupun pada asalnya  bukan semua kaum ‘sah’ dari segi kewarganegaraan.

Tidak memandang kepada status ‘pendatang’, kaum selain Melayu tetap diberikan hak sama rata tanpa adanya diskriminasi ‘ras’. Di bawah Perlembangaan Persekutuan, semua kaum bebas dalam berpolitik, bersosial mahupun dalam beragama tanpa adanya diskriminasi.

Jika dibandingkan dengan negara lain, Amerika kononnya dikenali sebagai jaguh demokrasi dunia. Namun, bagaimana dengan kemunculan golongan ‘Suffragette’ atau feminis pada awal abad ke 20 yang memperjuangkan hak mengundi untuk wanita. Jelas sekali, hak berpolitik untuk wanita diragut atas nama diskriminasi gender walaupun telah berstatus warganegara. Hal ini juga terjadi di Jepun di mana wanita mula diberi hak mengundi hanya selepas berlakunya pindaan perlembagaan di negara mereka1. Untungnya rakyat Malaysia, hak mengundi sama rata diberikan kepada warganegara lelaki dan wanita sejak dari awal penubuhannya.

Lihatlah, sebelum mencapai kemerdekaan lagi, Malaysia telah memberikan hak asasi manusia tanpa diskriminasi kaum, agama mahupun gender. Ketokohan perjuangan Mandela seharusnya menjadi cerminan kepada kita agar bersyukur dan menghargai usaha kepimpinan negara dalam menjamin hak asasi setiap rakyatnya, bukan menjadi golongan yang sengaja menimbulkan polemik dan pertikaian sehingga boleh menyumbang kepada perpecahan kaum. Oleh itu, sama-sama kita mempertahankan keharmonian ini agar Malaysia menjadi negara yang lebih maju pada masa akan datang.

Rujukan

1Women’s Suffrage in Japan in the 20th Century

Comments