Home Tempatan Negeri Perlu Beri Punca Kuasa Jelas Kepada Mahkamah Syariah – Ikbal Salam

Negeri Perlu Beri Punca Kuasa Jelas Kepada Mahkamah Syariah – Ikbal Salam

SHARE

Setiap negeri perlu memberi punca kuasa yang jelas dan tersurat kepada Mahkamah Syariah dalam enakmen negeri bagi mendengar kes permohonan individu keluar daripada agama Islam dengan menggaris pandukan prosedur-prosedur yang perlu dipatuhi oleh pemohon, ujar peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya, Ikbal Salam.

“Terdapat keperluan mendesak untuk Mahkamah Syariah dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dibekalkan dengan punca kuasa perundangan, prasarana dan tenaga pakar bagi menghadapi permohonan pengesahan status agama atau permohonan keluar agama Islam kerana jika kita terleka, semakin banyak permohonan-permohonan di Mahkamah Sivil yang dibuat terhadap perkara-perkara yang berada dalam ruang lingkup pentadbiran agama Islam.”

Selain itu, katanya lagi seperti yang dipetik dalam sebuah portal, Mahkamah Syariah perlu bersifat terbuka untuk mengizinkan mereka yang bukan Islam hadir sebagai saksi.

“Suatu ketika dahulu ada yang marah bila saya katakan sudah tiba masanya Mahkamah Syariah secara kelulusan adhoc dan ‘case to case basis’ membenarkan peguam bukan Islam mewakili para pemohon yang ingin keluar agama Islam di dalam Mahkamah Syariah.”

“Tetapi percayalah untuk meningkatkan martabat Mahkamah Syariah kita perlu lebih terbuka dan bersedia untuk menunjukkan kepada masyarakat berbilang kaum bahawa Mahkamah Syariah adalah institusi yang menggambarkan keadilan dan kecantikan agama Islam.”

Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, PAS Pusat (LUHAM) menegaskan bahawa pihak berkuasa agama setiap negeri seharusnya memperkemaskan enakmen masing-masing agar dapat melindungi kepentingan orang-orang Islam dan pada waktu yang sama perlu mengambil kira kepentingan rakyat bukan Islam.

Comments