Home Tempatan Negara Tidak Memiliki Pengetahuan Tentang Dosa & Pahala – IRF

Negara Tidak Memiliki Pengetahuan Tentang Dosa & Pahala – IRF

SHARE

Kuala Lumpur: Negara tidak memiliki pengetahuan tentang dosa dan pahala, maka autoriti tidak mempunyai kuasa untuk menghukum seseorang melibatkan dosa berkaitan agama.

Pandangan tersebut dilontarkan oleh Hazman Baharom, salah seorang ahli merangkap Felo Islamic Renaissance Front (IRF), sebuah badan pemikir Islam liberal yang berpengkalan di Malaysia.

“Sesiapa pun tidak boleh dan tidak mampu mengetahui secara pasti apakah yang terkandung dalam sanubari seseorang dan bagaimanakah hubungan sakral individu tersebut dengan Tuhannya. Perkara ini sahaja, saya kira menafikan hak institusi negara untuk menghukum dosa keagamaan,” ujar beliau.

Beliau membuat dakwaan ini dalam penulisannya bertajuk “Undang-undang Negara dan Paksaan Agama” yang terkandung dalam buku bertajuk ‘Wacana Pemikiran Reformis Jilid III’, terbitan Islamic Renaissance Front Berhad tahun 2017.

Menurut beliau, agama telah diinstitusikan dan telah memberi banyak kesan yang negatif di Malaysia dan kebanyakan negara umat Islam. Pihak yang memonopoli kekuasaan akan bertindak mengikut apa yang ia fikirkan wajar, lantas institusi inilah yang akan memberi kesan ke atas masyarakat Islam. 

Sebagai contoh, senarai keuzuran meninggalkan solat telah diinstitusikan. Maka, sesiapa yang meninggalkan solat tanpa sebab seperti yang tersenarai akan dihukum.

 “Apabila individu yang murtad tanpa pengetahuan institusi ini meninggalkan solat Jumaat umpamanya, ia akan dihukum pula kerana “tidak solat Jumaat”, walhal individu itu tidak lagi yakin dengan kebenaran Islam,” tambahnya lagi. 

Justeru, aktiviti kekuasan negara bukanlah ibu bapa kita, apatah lagi untuk mengetahui hakikat dosa dan pahala seseorang individu dengan Tuhannya. Hazman Baharom menyifatkan tindakan autoriti kekuasaan sebegini adalah satu ketidakadilan. 

Beliau berpandangan hak untuk negara menjalankan hukuman ke atas perkara keagamaan tidak mempunyai justifikasi yang kukuh, baik secara epistemik, teoritis atau praksis. 

Antara alasan yang ditekankan oleh Hazman Baharom dalam tulisannya, pertama, negara tidak memiliki pengetahuan tentang dosa dan pahala. Kedua, kewujudan negara itu sendiri dijustifikasi untuk melindungi beberapa perkara penting dan kuasa autoriti negara wajib mempunyai batas yang jelas, dan ketiga, hukuman sebegitu berkecenderungan untuk menzalimi masyarakat terbanyak atas nama agama. 

IRF yang dipimpin Dr Farouk Musa, merupakan antara pertubuhan yang turut mendapat dana dari gerakan Soft Power Amerika, National Endowment For Democracy (NED).

Comments