Home Tempatan Negara Telah Kehilangan Lebih 20 Aset Penting

Negara Telah Kehilangan Lebih 20 Aset Penting

SHARE

Kuala Lumpur: Negara telah kehilangan aset penting dan kita perlu mewujudkan satu piawaian yang jelas untuk pembinaan dan pengendalian maahad tahfiz di seluruh negara.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Sheikh Abdul Kareem Bin Said Khandaid, Setiausaha Agong Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia ketika dihubungi oleh wartawan Menara.my untuk memberi pandangan beliau berkenaan dengan tragedi yang menimpa Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

“Negara telah kehilangan lebih 20 aset penting.”

Beliau berpendapat bahawa pelajar maahad tahfiz adalah aset negara, sepertimana negara memerlukan saintis, doktor, jurutera dan lain-lain, negara kita juga memerlukan para huffaz (orang-orang yang menghafal al-Qur’an), maka dengan itu perlu ada satu standard yang jelas untuk pengendalian dan pembinaan maahad-maahad tahfiz di seluruh negara.

“Adakah buat masa ini wujud satu standard atau piawaian yang jelas untuk dipatuhi?” tanya beliau.

“Perlu wujud satu piawaian untuk pengendalian dan pembinaan maahad tahfiz, dan piawai ini perlu dikuatkuasakan dengan tegas serta kandungannya perlulah jelas supaya dapat difahami oleh mereka yang ingin membina dan mengendalikan maahad tahfiz,” tegas Sheikh Kareem.

“Bilangan maahad tahfiz di dalam negara perlulah mencukupi demi memenuhi keperluan yang ada, dan mana-mana maahad tahfiz yang melanggar garis panduan dan syarat-syarat yang ditetapkan, maka tindakan tegas perlu diambil ke atas individu-individu atau organisasi-organisasi yang bertanggungjawab supaya kejadian seperti yang berlaku di Darul Quran Ittifaqiyah tidak berulang,” ujar Sheikh Kareem lagi.

Beliau juga menyatakan bahawa, “Sebahagian daripada adab mempelajari Kitabullah (al-Qur’an) adalah kebajikan pelajar-pelajar dan guru-guru perlu dijaga dengan baik dan perkara ini boleh dilaksanakan sekiranya terdapat peruntukan undang-undang, piawaian keselamatan bangunan, dan syarat-syarat lain sepertimana yang dikenakan ke atas sekolah-sekolah kebangsaan di negara ini.”

“Maahad tahfiz adalah institusi pengajian Kitabullah. Kita umat Islam perlu memberi yang terbaik untuk mewujudkan infrastruktur dan sistem yang terbaik demi memuliakan Kitabullah.”

Comments