Home Tempatan Negara Nusantara sebagai pusat kewangan Islam

Negara Nusantara sebagai pusat kewangan Islam

SHARE
PENGERUSI Majlis Pendidik Kewangan Islam Antarabangsa (ICIFE), Tan Sri Dr Rais menyampaikan ucaptama sempena Mesyuarat Tahunan dan Forum Antarabangsa ICIFE di Hotel UiTM di Shah Alam, hari ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Negara nusantara yang mempunyai lebih 300 juta umat Islam berpotensi menjadi pusat kewangan Islam termasuk menggunakan dinar, emas dan perak dalam urus niaga.

Pengerusi Majlis Pendidik Kewangan Islam Antarabangsa (ICIFE), Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata sudah tiba masanya umat Islam di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Thailand dan Filipina memainkan peranan ke arah itu, sekali gus memastikan ia terus kukuh dalam ekonomi dunia bagi jangka masa panjang.

“Umat Islam Islam Nusantara dilihat lebih memiliki kemampuan merealisasikan hasrat ini, berbanding negara Islam Timur Tengah. Malah, jika dilihat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga tidak bersungguh-sungguh melaksanakan perubahan dalam sistem kewangan dunia.

“Sistem kewangan Islam boleh memainkan peranan penting dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar pada masa ini. Saya yakin rantau Nusantara mempunyai asas kukuh untuk memulakan usaha ini, “katanya.

Beliau yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata demikian dalam ucaptama sempena Mesyuarat Tahunan dan Forum Antarabangsa ICIFE di Hotel UiTM di sini, hari ini. Yang turut hadir, Presiden ICIFE, Prof Dr Khaliq Ahmad.

ICIFE ditubuhkan dengan kerjasama dan bimbingan pelbagai pihak diketuai oleh UIAM bersama 12 universiti awam, Kementerian Pendidikan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) menerusi Program Transformasi Ekonomi Kerajaan (ETP).

Rais berkata, perkembangan sistem kewangan Islam dilihat masih perlahan dan usaha berterusan perlu dilakukan bagi menggantikan kewangan konvensional.

“Malaysia sendiri adalah antara pusat sistem kewangan Islam. Pasaran kewangan Islam Malaysia muncul satu daripada destinasi utama dalam kewangan Islam, terutama dalam perbankan Islam, sukuk dan ekuiti Islam,” katanya.

Berita Harian

Comments