Home Surat Negara Asal Oktoberfest Hina Perayaan Islam, Negara Islam Terhegeh-Hegeh Sambut Oktoberfest

Negara Asal Oktoberfest Hina Perayaan Islam, Negara Islam Terhegeh-Hegeh Sambut Oktoberfest

SHARE

Hasrat murni Menteri Dalam Negeri Jerman, Thomas de Maiziere bagi membolehkan jutaan umat Islam di Jerman bercuti untuk meraikan hari-hari perayaan umat Islam bertukar menjadi menjadi mimpi ngeri setelah dihujani dengan cercaan termasuk daripada rakan-rakan sekutu politiknya sendiri daripada parti Christian Democratic Union of Germany (CDU). Parti ini diasaskan oleh Konrad Adenauer yang yayasannya banyak mendanai gerakan sekularisme dan liberalisme di Malaysia.

Seorang lagi pemimpin politik Jerman yang terkenal sebagai pembenci Islam, Sven Tritschler dengan lantang menghina agama Islam dalam kenyataannya sebagai tanda membantah cadangan tersebut.

Sven Tritschler berkata, “Jadi cuti-cuti Islam? Hari merejam batu? Hari melanyak golongan homoseksual? Hari pembakaran gereja? Yang mana satu?”

Pemimpin terkemuka Bavaria — tempat asal pesta minum arak Oktoberfest, Alexander Dobrindt pula secara tegas membantah cadangan untuk memberi cuti umum meraikan hari perayaan Islam kerana menurutnya ia bertentangan dengan akidah Kristian yang mereka pegang.

“Warisan Kristian kita bukanlah sesuatu yang boleh dibawa berunding,” tegas beliau.

Ketegasan penentangan pemimpin Bavaria tersebut bukanlah sesuatu yang menghairankan memandangkan penduduk Bavaria terkenal dengan sikap mereka yang amat membenci umat Islam.

Kajian Institut Kajian Sosial Ludwig Maximilian University (LMU) tahun lepas mendapati lebih 4 daripada setiap lima penduduk Bavaria mengaku membenci umat Islam. Hanya 11% sahaja daripada penduduk Bavaria yang dapat menerima kewujudan umat Islam.

Ironinya, ada di kalangan rakyat negara Islam seperti Malaysia terhegeh-hegeh mahu menyokong penganjuran sambutan Oktoberfest, kononnya atas dasar keterbukaan, modenisasi atau khuatir dilabel sebagai Taliban, pesta mabuk tradisi masyarakat Bavaria yang secara jelas menzahirkan permusuhan dan kebencian mereka terhadap umat Islam.

Tidakkah mereka tahu betapa lantangnya masyarakat Jerman, khususnya di Bavaria membantah hak jutaan umat Islam Jerman untuk mendapat cuti umum, waima sehari, untuk bersama keluarga dan komuniti mereka bagi meraikan perayaan-perayaan Islam?

Hak umat Islam itu dinafikan atas dasar diskriminasi, konon kerana bertentangan dengan pegangan warisan agama Kristian masyarakat Bavaria!

Malang sekali, kedudukan istimewa Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan Malaysia tidak memberi sebarang makna kepada rakyat kita yang menyokong membuta tuli pesta arak. Mereka bertegas menyokong penganjuran pesta mabuk yang mahu diadakan secara besar-besaran dan terbuka. Adakah kita cuba mahu mencambahkan budaya minum arak dan mabuk dikalangan anak muda kita sebagai sesuatu yang ‘cool’ dan ‘hip’?

Rasanya negara kita tidak perlu lebih daripada seorang ‘Tawfik Ismail’!

Tentulah keraian terbuka pesta arak ini bertentangan dengan kehendak agama Islam, Agama bagi Persekutuan. Tidakkah mereka sedar?

Adakah mereka mempunyai niat untuk mencabar kedaulatan dan maruah agama Islam di negara ini?

Apabila ditegur dan dibantah secara berhemah oleh umat Islam, mereka menyambut dengan provokasi dan tohmahan serta direjam dengan pelbagai cercaan dan gelaran yang menghina.

Umat Islam terus bersabar sedangkan pihak-pihak kufur dan kufar ini berterusan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang amat mengguris perasaan.

Yang terbaru, seorang pemimpin politik yang beragama Kristian yang sebelum ini galak memakai topeng Islamik untuk meraih undi dan sokongan umat Islam, namun kini tergamak mengutuk umat Islam yang membantah atas dasar maruah agama sebagai “ekstremis” dan “Taliban”.

Sungguh mengecewakan. Mungkin perasaan umat Islam di negara ini seperti juga di Jerman langsung tidak mempunyai nilai di sisi mereka.

Mungkin selagi mana kita tidak meninggalkan Islam dan turut mengikuti hawa nafsu dan kehendak mereka, selagi itu kita akan terus dilabelkan dengan kata-kata nista sebagai “Ekstremis” dan “Taliban”.

Ada hikmah yang boleh kita renung pada ayat Al-Quran yang terjemahannya berbunyi:

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahi yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”

(Surah al-Baqarah: 120)

Allah Maha Mengetahui. Tentunya ada yang masih mahu ‘berhusnudzon’ dengan agen-agen Konrad Adenauer. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua.

* Haji Othman bin Ibrahim merupakan pembaca Menara.My. Pandangan yang dilontarkan adalah dari penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Menara.my.

Comments