Home Antarabangsa Nautical Aliya tiba di Pelabuhan Klang pagi Khamis

Nautical Aliya tiba di Pelabuhan Klang pagi Khamis

SHARE
PRESIDEN Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahim (kiri) bersama Bendahari Kehormat Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim (dua dari kanan) dan Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Nasaruddin M Zin (dua dari kiri) serta Kapten Mohd Firdaus Faisal Mohamed (tengah) melihat beras sumbangan di Gudang Perlabuhan Selatan. Barangan sumbangan ini akan dihantar kepada etnik Rohingya dalam misi "Food Flotilla" yang akan berlayar ke Mynmar. - Foto Muhammad Sulaiman

PERAIRAN THAILAND: Kapal kemanusiaan Nautical Aliya dijangka tiba di Pelabuhan Klang jam 9 pagi Khamis ini.

Kapal ini sedang memasuki Selat Melaka dan dijadual mengisi minyak di tengah laut (ship to ship transfer), kira-kira 50km dari Langkawi pada jam 5 petang waktu Malaysia.

Kapal kemanusiaan itu dijangka berlabuh di Terminal Boustead Cruise atau di Northport di Pelabuhan Klang.

Bendahari Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim, berkata setakat ini pelayaran dari Chittagong lancar.

“Kita harap rakyat Malaysia akan sambut kepulangan Nautical Aliya selepas kejayaan misi di Myanmar dan Bangladesh. Misi flotila ini adalah simbol keprihatinan rakyat Malaysia dalam isu Rohingya,” katanya.

Nautical Aliya belayar dari Pelabuhan Klang sejak 3 Februari lalu dan membawa muatan 2,300 tan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar dan Teknaf, Bangladesh.

Ia dinaiki 184 aktivis dan sukarelawan dari 12 negara, yang diketuai Presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Anggota misi juga turut mengagihkan bantuan di kem pelarian di Kutupalong, Balukhali dan Leda, Teknaf di Bangladesh.

Misi flotila kemanusiaan yang julung kali diadakan itu, dianjurkan KP1M dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) disokong lebih 30 badan bukan kerajaan ASEAN dan antarabangsa.

Berita Harian

Comments