Home Antarabangsa Nautical Aliya tak dibenar berlabuh

Nautical Aliya tak dibenar berlabuh

SHARE
PRESIDEN Kelab Putera 1 Malaysia, Datuk Seri Abdul azeez Abdul Rahim pada sidang media di Program Misi Food Flotilla For Myanmar. - Foto Syarafiq Abd Samad

LAUT ANDAMAN: Kapal Nautical Aliya yang dalam misi flotila kemanusiaan tidak dibenar berlabuh di Teknaf, Bangladesh, selepas lima hari belayar dan memasuki kawasan perairan Myanmar hari ini.

Kerajaan Bangladesh sebaliknya hanya membenarkan kapal flotila itu berlabuh di Pulau St Martin, Kutubdia atau Chittagong atas faktor keselamatan pelayaran.

Kesemua 184 sukarelawan dari 12 negara dalam misi flotila itu juga tidak dibenarkan turun ke darat atas faktor keselamatan di kem pelarian.

Ketua misi flotila yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata berita yang itu amat mengecewakan.

“Ini akan menjadi kekangan besar kepada flotila jika tidak dibenarkan berlabuh di Teknaf dan sukarelawan tidak dapat turun.

“Kami berharap Kerajaan Bangladesh mempertimbangkan kebenaran untuk sukarelawan turun ke daratan,” katanya kepada media di atas kapal Nautical Aliya sebentar tadi.

Hadir sama Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid dan Pengarah operasi flotila yang juga Timbalan Presiden KP1M, Datuk Farid Hassan.

Misi flotila anjuran KP1M dan MAPIM yang disokong NGO ASEAN dan antarabangsa itu membawa 2,300 tan makanan dan ubat-ubatan kepada pelarian etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar dan Teknaf, Bangladesh.

Kerajaan Bangladesh sebelum ini dilaporkan membenarkan Nautical Aliya berlabuh di Teknaf dan bersetuju memberi visa ketibaan (VOA) kepada sukarelawan flotila.

Berita Harian

Comments