Home Tempatan Nautical Aliya dijangka tiba perairan Thailand malam ini

Nautical Aliya dijangka tiba perairan Thailand malam ini

SHARE
SELAT MELAKA 05 FEBRUARY 2017. Kapten kapal Nautical Aliya, kapten Mohd Firdaus Faisal Mohamad melihat pada peta kedudukan kapal pada Program misi Food Flotilla For Myanmar. NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD

SELAT MELAKA: Kapal Nautical Aliya, yang membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan untuk pelarian Rohingya, dijangka tiba di sempadan perairan Malaysia-Thailand jam 12 tengah malam ini selepas belayar lebih 36 jam dari Pelabuhan Klang.

Setakat ini, pelayaran lancar dengan tiada insiden besar kecuali sebuah dron milik sukarelawan terjatuh ke dalam laut ketika penggambaran. Kapten Nautical Aliya, Kapten Mohd Firdaus Faisal Mohamed, berkata ketika ini Nautical Aliya belayar dengan kelajuan purata sembilan knot (16.7 kilometer sejam), tiga knot di bawah kapasiti sebenar. “Kita mula memasuki Laut Andaman.

Keadaan laut dan cuaca baik. Kita jangka tiada sebarang masalah sepanjang pelayaran ke Yangon (Myanmar) dan Teknaf, Bangladesh,” katanya kepada media sebentar tadi.

Kapal flotila kemanusiaan ke Myanmar yang membawa 2,300 tan bekalan makanan dan ubat-ubatan itu berada pada kedudukan 60 batu nautika dari Langkawi jam 12.45 tengah hari tadi.

Laut Andaman adalah laluan laut yang dilalui ribuan pelarian Rohingya yang lari dari konflik di wilayah Rakhine, barat Myanmar sebelum mendarat di Thailand dan Langkawi.

Ketua misi flotila, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata proses pemunggahan barang untuk diturunkan di Yangon dijangka bermula esok.

“Barangan yang akan diserahkan di Yangon akan diletakkan dalam kontena paling depan antara lain 50,000 pek mi segera, 12,000 botol air mineral dan 10,000 kotak kit kebersihan,” katanya.

Flotila juga akan menyalurkan 300 tan beras yang dibeli di Myanmar.

Misi flotila kemanusiaan untuk membantu etnik Rohingya disertai 195 aktivis dan sukarelawan dalam dan luar negara dianjurkan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan sokongan badan bukan kerajaan ASEAN dan antarabangsa.

 

Berita Harian

Comments