Home Tempatan “Nasihat” Bukan Suatu Ketetapan Mengikat YDPA – Presiden PPMM

“Nasihat” Bukan Suatu Ketetapan Mengikat YDPA – Presiden PPMM

SHARE

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar menegaskan perkataan “nasihat” seperti yang terkandung dalam Perkara 145(1) berkaitan kuasa DYMM YDP Agong bukanlah suatu ketetapan yang mengikat YDP Agong kerana ia lebih bersifat panduan dan bukannya “arahan” yang dinilai oleh YDP Agong mengikut hemat, kebijaksanaan dan hikmah Baginda.

“Sehubungan dengan itu, PPMM berpandangan YDP Agong semestinya mengambilkira kepentingan dan kemaslahatan Agama Islam di dalam negara ini kerana dengan lantikan Peguam Negara adalah hendaknya individu yang mampu memelihara Islam pada setiap masa dan keadaan,” kata Zainul Rijal seperti yang dipetik dalam kenyataan akhbar PPMM bertarikh 4 Jun 2018.

“Di samping itu, adalah penting Perkara 40(1) dan (1A) dirujuk dan diamati dengan menyeluruh mengenai keperluan YDP Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri melainkan dalam beberapa perkara yang sepenuhnya di dalam budi bicara YDP Agong,” tambah beliau lagi.

Seterusnya beliau menyatakan bahawa PPMM musykil jika lantikan dibuat di kalangan pihak yang bukan di dalam “ahlinya” maka, akan mengundang suatu percanggahan terhadap tujuan utama perlantikan oleh YDP Agong.

Ini kerana PPMM berpandangan bahawa seorang Peguam Negara menurut Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah adalah juga merupakan seorang Ketua Pendakwaraya bagi sesebuah negara dan semestinya Peguam Negara yang bakal dilantik hendaklah mempunyai pengalaman sebagai Peguam Litigasi Jenayah yang kukuh dan kuat bagi menjaga kepentingan Negara Malaysia.

PPMM memetik mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato’ Gopal Sri Ram sebagai menegaskan perkara yang sama dengan pandangan PPMM di atas.

Atas sebab-sebab yang telah dinyatakan sebelum ini, PPMM mendesak agar kesemua pihak perlu menghormati kuasa YDP Agong.

Zainul Rijal berkata, “Berikanlah ruang untuk YDP Agong membuat keputusannya mengikut ‘at the pleasure of Yang Di Pertuan Agong’ menurut Perkara 145(5) yang mana Peguam Negara memegang jawatan dengan perkenan YDP Agong dan bukan hanya daripada nasihat Perdana Menteri. Ini kerana suatu ‘perkenan atau pleasure’ tidak boleh dipaksakan kepada Baginda.”

Beliau turut menyatakan bahawa PPMM percaya isu ini tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk mencabar dan merendahkan institusi Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam Perkara Kedua Rukun Negara – ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’.

Pada masa yang sama beliau memetik sumpah YDP Agong sesuai dengan Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan yang akan memelihara Islam pada setiap masa sebagai satu tanggungjawab berperlembagaan dan beliau turut menyatakan ikrar PPMM untuk berdiri teguh di belakang YDP Agong dan Raja-Raja Melayu dalam pelaksanaan tanggungjawab tersebut.

Comments