Home Surat NAK HIJRAH, SILAKAN : BANYAK LAGI RAKYAT YANG MAHU BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

NAK HIJRAH, SILAKAN : BANYAK LAGI RAKYAT YANG MAHU BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

SHARE

Komentari
Sebuah artikel yang telah diterbitkan pada 6 Mei 2017 oleh Free Malaysia Today (FMT) bertajuk ‘Almost Half of Chinese surveyed want to emigrate’ memang seronok-tetapi-menjengkelkan untuk dibaca. Artikel itu bagaimanapun mengatakan peratusan rakyat Malaysia berketurunan Melayu dan India yang mahu berhijrah adalah kurang berbanding rakyat berketurunan Cina. Artikel FMT ini memetik sebuah kajian yang baru-baru ini dijalankan oleh Universiti Oxford yang dibiayai oleh CIMB Foundation.

Saya tidak ada akses kepada laporan penuh kajian ini dan menulis berdasarkan artikel atas talian yang diterbitkan oleh FMT. Saya tidak tahu niat kajian ini dan kenapa ianya dijalankan. Saya bukan mahu bertindak perkauman tetapi berdasarkan kajian (dan tajuk artikel FMT tersebut), adalah jelas bahawa masyarakat Cina (tidak semua barangkali) berpuas hati memandangkan terdapatnya anggapan ketidakadilan dalam negara ini.

Marilah kita merenung sejarah dan menyaksikan bagaimana negara ini telah cuba berlaku adil untuk menjadikan Malaysia selesa untuk semua. Tanah Melayu wujud melalui gabungan kesultanan-kesultanan Melayu manakala Sabah dan Sarawak pernah secara longgar ditadbir sebagai negeri naungan Kesultanan Melayu Brunei sebelum kedatangan British. Sewaktu pentadbiran kolonial pada kurun ke 18 dan 19 Masihi, pihak British membawa masuk imigran bukan Melayu ke Tanah Melayu. Majoriti mereka bekerja sebagai buruh yang berkhidmat di lombong-lombong timah dan ladang-ladang getah yang terdapat di seluruh Tanah Melayu.

Pada akhir Perang Dunia Kedua, pihak British memperkenalkan ‘Malayan Union’ pada tahun 1946. Pelan ini berdepan dengan protes yang kuat daripada komuniti Melayu mengakibatkan pihak British menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Malaya pada tahun 1948 – suatu regim pentadbiran yang tidak mudah memberikan kerakyatan kepada imigran asing bukan Melayu pada ketika itu. Ini menunjukkan pihak pentadbir British menghormati orang-orang Melayu sebagai kaum Bumiputra di Tanah Melayu.

Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 – sebuah negara kecil, miskin dengan pelbagai masalah sosio-ekonomi di Asia Tenggara – legasi tinggalan penjajah British.

Pada saat negara-negara bekas jajahan British enggan menerima pendatang atau imigran asing sebagai rakyat – Myanmar enggan memberikan taraf kerakyatan kepada Rohingya, Australia dengan ‘Polisi Australia Putih’, Brunei pula dengan komuniti Cina tanpa kerakyatan dan Britain pula dengan Brexit – orang-orang Melayu di Persekutuan Tanah Melayu bersetuju menerima orang-orang bukan Melayu sebagai rakyat asalkan perkara-perkara berikut dipersetujui:

  1. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan);
  2. Islam sebagai agama Persekutuan (Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan)
  3. Kedudukan istimewa orang Melayu (Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan)
  4. Kedaulatan dan kedudukan Raja-raja Melayu (Artikel 38 Perlembagaan Persekutuan).

Jika tidak kerana ini, berjuta orang-orang bukan Melayu di Malaysia tidak akan bernegara.

Kerajaan Malaysia telah bertungkus-lumus dalam mengimbangi usaha memajukan kedudukan sosio-ekonomi orang-orang Melayu serta memacu negara ini menuju kemakmuran. Usaha ini bukanlah sia-sia semata. Investopedia, laman web pendidikan kewangan terbesar di dunia telah meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara ‘top 25’ di kalangan negara-negara membangun dan maju [2].

Meskipun terdapat tuduhan terhadap polisi kerajaan memberikan keistimewaan kepada orang-orang Melayu (seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan), Malaysia telahpun muncul sebagai negara terbaik untuk pelaburan pada tahun 2017, seperti yang dilaporkan oleh akhbar New Straits Times [3].

Tuduhan tidak benar terhadap polisi kerajaan ini yang dikatakan telah menggugat hak-hak orang bukan Melayu tidak secara keseluruhannya benar. Lihatlah di sekeliling – terdapat banyak golongan profesional bukan Melayu. Lagipula, senarai individu-individu terkaya di Malaysia pula terdiri daripada orang-orang bukan Melayu. Sekiranya kerajaan tidak adil, bolehkah orang-orang bukan Melayu termasuk dalam senarai ini?

Golongan minoriti bukan Melayu juga dibenarkan untuk membuka sekolah-sekolah vernakular (sesetengahnya dibiayai kerajaan) – sesuatu yang jarang terdapat di mana-mana negara lain di dunia.

Universiti Oxford adalah sebuah institusi pengajian tinggi yang sangat masyhur dan dihormati. Oleh itu, ia tidak sepatutnya menjalankan kajian sebelah pihak sahaja. Bagi menjadikan kajian ini lebih mantap, berikut adalah cadangan-cadangan yang boleh saya berikan:

  1. Peratusan rakyat Malaysia yang memilih untuk terus tinggal di Malaysia dan menyumbang kepada negara;
  1. Menurut kajian ini, masyarakat Cina adalah dengan peratusan paling tinggi berniat untuk berhijrah. Suatu kajian patut juga dilakukan untuk mengenalpasti peratusan rakyat Malaysia yang akan bersenang hati golongan-golongan ini akan berhijrah;
  1. Peratusan kaum minoriti Malaysia yang bersedia untuk berintegrasi dengan populasi majoriti menerusi penguasaan dalam bahasa Melayu, bahasa kebangsaan Malaysia.

Menerusi cadangan-cadangan ini, kajian ini dapat melihat isu ini dari dua perspektif berbeza dan bukannya sekadar sepihak.

Kesimpulan
Terdapat banyak atlet, ahli akademik, ahli politik, pakar ekonomi dan ahli perniagaan bukan Melayu yang berjaya di Malaysia. Sekiranya terdapat ketidakadilan di Malaysia seperti yang dimomokkan, golongan bukan Melayu tidak akan ada peluang sedikitpun untuk berjaya. Lihat saja nasib petani kulit putih di Zimbabwe di bawah pentadbiran Robert Mugabe – mereka telah diperlakukan dengan kejam di mana tanah mereka dirampas untuk diserahkan kepada petani kulit hitam. Jauh sekali dibandingkan dengan Malaysia, komuniti bukan Melayu boleh menjalankan urusniaga perniagaan mereka setiap hari tanpa ancaman keganasan.

Terdapat garis halus yang memisahkan kepura-puraan kononnya menanggung penindasan dengan sekadar menjadi golongan yang kurang bersyukur.

Malaysia bukanlah utopia, negara sempurna. Walaubagaimanapun, usaha sentiasa dan perlu dilakukan untuk memperbaiki negara. Sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati berada di sini, dia bebas untuk berhijrah ke mana sahaja. Akan tetapi, sekiranya dia memilih untuk berhijrah, lakukanlah dengan terhormat tanpa memburukkan dan menghina negara di luar.

Dengan itu, saya berharap ilmuan cerdik terpelajar di Universiti Oxford akan mempertimbangkan cadangan-cadangan yang telah saya berikan. Saya percaya terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang pintar, bijak, produktif dan rajin yang akan bersama-sama dengan Malaysia menyumbang kepada pembangunan tanahair kita yang tercinta.

Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah seorang pembaca Menara.my dan pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di sekolah undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia. 

Rujukan


[1] http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/05/06/almost-half-of-chinese-surveyed-want-to-emigrate/

[2] http://www.investopedia.com/updates/top-developing-countries/
[3] http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/03/13/malaysia-tops-in-best-countries-to-invest-in/

Comments