Home Tempatan Najib: Umno perlu halusi RUU 355 sebelum sertai demo PAS

Najib: Umno perlu halusi RUU 355 sebelum sertai demo PAS

PAS merancang mengadakan Himpunan 355 pada 18 Februari nanti bagi menggembleng sokongan orang Islam kepada cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

SHARE

KUALA LUMPUR: Umno hanya akan membuat keputusan mengenai Himpunan 355 anjuran PAS selepas menghalusi aspek rang undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355).

Presiden Datuk Seri Najib Razak berkata oleh itu parti belum boleh mengesahkan penyertaan dalam tunjuk perasaan menyokong pindaan meningkatkan hukuman syariah pada 18 Februari nanti.

Najib mengesahkan Himpunan 355 antara agenda yang dibincangkan di mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang tadi.

“Saya akan buat ulasan nanti. Kita tengah halusi segala aspek RUU 355. Bagi saya tempoh sikitlah,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat hari ini.

PAS merancang mengadakan Himpunan 355 bagi mengembleng sokongan orang Islam kepada cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tunjuk perasaan itu bagaimanapun dibantah Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz serta beberapa parti komponen Barisan Nasional.

Malah, pada tarikh yang sama, media melaporkan sebuah badan kerajaan merancang mengadakan himpunan balas di Padang Merbok bagi membantah pindaan.

Sementara itu, Najib berkata Umno dan PAS mungkin berkongsi pentas pada 3 Februari depan untuk program pelancaran pelayaran misi kemanusiaan “Flotila ke Myanmar”.

“InsyaAllah, PAS juga akan hadir bersama untuk majlis pelancaran pelayaran tersebut. Kita boleh bekerjasama atas isu-isu yang menyentuh soal ummah, Islam dan sebagainya,” katanya.

Ditemui selepas mesyuarat, Menteri Besar Negeri Sembilan yakin PAS dan Umno boleh jalan seiring dalam isu bangsa dan agama.

“Sebab matlamat kita sama. Perlembagaan parti menyatakan memartabatkan bangsa, agama dan negara. PAS pun begitu juga,” kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Saya tidak nampak halangan untuk bekerjasama dengan PAS, bahkan PAS dengan BN khususnya Umno boleh jalan seiring untuk kita capai matlamat dan perkasa umat, agama Islam dan membela nasib bangsa Melayu,” katanya.

Hasan bagaimanapun menyedari ada bantahan kecil di peringkat akar umbi berhubung kerjasama itu.

Free Malaysia Today

Comments