Home Surat Najib Ali, Cer Kutuk PM Singapura Tengok…

Najib Ali, Cer Kutuk PM Singapura Tengok…

SHARE

Komentari

Beberapa hari yang lalu, rakyat Malaysia (mungkin tidak semua) dikejutkan apabila peserta rancangan komedi Singapura ‘Ok Chope’ diperkatakan telah memperbodohkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak. Najip Ali, pelawak yang agak popular di Malaysia adalah salah seorang yang telah mempersendakan Perdana Menteri dalam rancangan tersebut. Syarikat Media Corp milik Singapura dan Najip Ali telah membuat permohonan maaf kepada Perdana Menteri akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab itu.

Ini bukan kali pertama pelawak-pelawak Singapura mempersendakan pemimpin-pemimpin Malaysia. Tahun lepas, seorang pelawak Singapura yang bernama Fakkah Fuzz melakukan perkara yang sama apabila mengatakan bahawa Perdana Menteri Malaysia seorang pencuri.

Selain itu, akhbar-akhbar berpusat di Singapura seperti Channelnews Asia dan The Independent.sg ada memberikan laporan negative mengenai Malaysia dan Singapura (lihat Malaysia losing to Indonesia, says Bloomberg)  serta Korea Selatan (lihat Poor and on their own, South Korea’s elderly who will ‘work until they die’).

Adakah Malaysia ini teruk sangat?

Malaysia Tidaklah Teruk Sangat Pun 

Dewasa ini, sudah agak terbiasa untuk orang-orang Malaysia (walaupun tidak semua) untuk memburukkan negara. Sesetengah daripada mereka berbangga dapat menceritakan perkara yang tidak-tidak mengenai negara kepada orang-orang luar. Memang benar terdapat perkara-perkara dan isu-isu mengenai Malaysia yang kita harus perbetulkan.

Sekiranya kita sering fokus kepada perkara-perkara buruk, memanglah kita sentiasa marah dan tidak puas hati. Apa kata kali ini kita fokus kepada perkara-perkara yang menyenangkan. Indeks Kemanan Global 2016 meletakkan Malaysia di tangga 30 daripada keseluruhan 163 negara – ini bermaksud Malaysia adalah salah sebuah negara yang paling aman di dunia.

Memang benar Ringgit Malaysia telah merudum berbanding Dollar Singapura. Akan tetapi Singapura adalah sebuah kota yang mahal – malah ianya adalah bandaraya paling mahal di dunia. Kuala Lumpur pula, adalah sebuah bandaraya dengan infrastruktur moden tetapi kekal sebagai kota yang paling murah di Asia Tenggara. Ini dilaporkan oleh Survei Kos Kehidupan Seluruh Dunia 2017 yang dikeluarkan oleh Economist Intelligence Unit.

Ada pihak di dalam dan luar negara heboh mengatakan bahawa Malaysia adalah salah sebuah negara paling korup di dunia. Walaubagaimapun, pengataan ini tidak semuanya benar. Indeks Transparensi Global 2016 meletakkan Malaysia di tangga ke-55 daripada 176 negara, di belakang Korea Selatan. Ini bermakna Malaysia boleh dianggap sebagai salah sebuah negara paling tidak korup di benua Asia. Malah, Malaysia juga tidak pernah disenaraikan sebagai salah sebuah negara paling korup di dunia.

Rakyat Malaysia juga memiliki salah sebuah pasport yang terbaik di dunia, diperingkat nombor 5 dari segi kekuatan seperti yang disenaraikan oleh Global Passport Power Index. Malaysia memiliki pasport terbaik untuk sebuah negara majoriti Muslim yang membangun.

Forum Ekonomi Dunia 2015 melaporkan bahawa Malaysia mempunyai salah satu jaringan jalan raya berturap terbaik di dunia – pengiktirafan yang menunjukkan kualiti infrastruktur kita tidaklah seburuk yang disangkakan.

Ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur, sebuah kota membangun, disenaraikan oleh majalah The Economist sebagai salah satu bandaraya terbaik di kalangan kota-kota Asia serta salah satu kota yang paling dikunjungi  di dunia – ditempatkan di posisi lebih tinggi daripada bandaraya Sydney, Seoul atau ibukota Jepun, Tokyo. Sekiranya Kuala Lumpur tidak menarik dan mempesona, sudah pasti kota ini tidak akan menerima kebanjiran pelancong asing.

Lagi pula, majalah Business Insider di dalam laporan terkini mereka pada tahun 2017 mengiktiraf Malaysia sebagai salah sebuah kuasa ekonomi dunia menjelang tahun 2050 mengatasi Australia, Belanda dan Sepanyol. Pengiktirafan ini agak luar biasa kerana terdapat pihak yang tidak habis-habis mengatakan bahawa Malaysia adalah negara yang hampir bankrap.

Kenapa Perlu Menghina Orang Lain?

Fakta-fakta ini menunjukkan Malaysia tidaklah seteruk mana pun. Walaupun begitu, agak menyedihkan apabila terdapat rakyat Malaysia yang sanggup memburukkan negara sendiri hanya kerana kebencian mereka terhadap individu politik yang memerintah negara. Ini juga mungkin salah satu daripada sebab kenapa Najip Ali dan konco-konconya berani menghina pemimpin negara kerana mereka tahu rakyat Malaysia (mungkin bukan semua) tidak ambil kisah.

Beginilah, kita ibaratkan negara ini seperti keluarga kita dan pemimpin negara sebagai ibu bapa/penjaga kita – sekiranya kita tidak suka kepada ibu bapa/ penjaga kita, adakah kita masih akan menceritakan dan menghebahkan keburukan keluarga kita kepada orang lain? Perlukah untuk membuka pekung di dada sendiri?

Terkadang terfikir juga kalau Najip Ali dan konco-konconya mempunyai keberanian untuk menghina pemimpin mereka sendiri di Singapura. Perlu diingatkan bahawa Singapura pernah mempunyai kisah korupsi dan nepotisme mereka sendiri.

Masih ingatkah pada Skandal Nassim Jade pada tahun 1996? Masih ingatkah kepada Tang Liang Hong, calon pembangkang Singapura yang dibangkrapkan dan kini hidup dalam buangan di Australia kerana mempersoalkan Skandal Nassim Jade? Masih ingatkah pada Amos Yee, anak muda Singapura yang terpaksa mencari perlindungan di Amerika Syarikat kerana menghina kerajaannya?

Singapura sering dilihat sebagai negara dunia pertama yang dihormati dan dihuni rakyat minda kelas pertama. Akan tetapi apa yang dilakukan oleh Najip Ali dan konco-konconya jelas menunjukkan sebaliknya. Jika pelawak Malaysia membuat lawak atau mempersenda pemimpin Singapura seperti mendiang Lee Kuan Yew, agak-agak, rakyat Singapura akan marah tidak?

Rakyat Singapura tidak perlu khuatir mengenai ini. Rakyat Malaysia telah diberikan pendidikan berkualiti disulami adat ketimuran yang penuh kesopanan. Kita juga menganggap Singapura sebagai salah satu teman akrab kita.

Kita haruslah jaga standard kita supaya tidak menyerupai perangai mereka. Singapura memang suka bergurau, tapi bergurau pun ada hadnya.

Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.

 

Comments