Home Tempatan Najib adiwira Rohingya dan hala tuju OIC

Najib adiwira Rohingya dan hala tuju OIC

Kini tiba masanya, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) secara kolektif perlu mengambil inisiatif untuk menggerakkan tenaga membawa isu Rohingya di Myanmar ke peringkat dunia.

SHARE

Oleh Dr Helmi Ibrahim

Satiranya, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sinonim dengan ungkapan “Oh I See” (Oh saya lihat) … namun segala-galanya bakal berubah jika apa yang terkandung dalam resolusi mesyuarat luar biasa OIC membincangkan perihal Rohingya pada 19 Januari lalu berjaya dilaksanakan.

Sekalung tahniah harus dihadiahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menjadikan mesyuarat ini satu kenyataan. Ucapan syabas juga harus diberikan kepada Duta Khas OIC Tan Sri Syed Hamid Albar yang bertungkus-lumus memperjuangkan isu Rohingya di segala sudut dunia sejak 2014.

Tidak ketinggalan syabas juga kepada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta Wisma Putra yang terbang ke 56 negara menyampaikan jemputan dan menganjurkan mesyuarat ini dalam waktu amat singkat.

Tanggal 19 Januari 2017, Kuala Lumpur menjadi saksi kepada pertemuan 57 negara anggota OIC hadir dengan satu niat dan satu hasrat, iaitu meminjamkan suara sokongan kepada umat Rohingya; serta memanjangkan suara amaran kepada kerajaan Myanmar.

Asean Rohingya Center (ARC) sebagai sebuah “think tank” yang komited dalam kerja advokasi di peringkat Asean dan melaksanakan projek-projek menyampai kepada masyarakat Rohingya tempatan mempunyai pandangan yang tersendiri terhadap output kepada mesyuarat luar biasa OIC tersebut.

Esok masih ada bagi Rohingya. Mesyuarat ini meraih harapan kepada umat Rohingya di seluruh dunia nasib mereka dipedulikan masyarakat antarabangsa. Dengan sokongan 57 negara OIC ia bukan satu angka kecil kerana ia diwakili negara dari benua Asia, Afrika dan Eropah.

Ia satu kemenangan moral dan diplomatik kepada pendukung Rohingya.

Perdana menteri, namanya akan terpateri dalam sejarah sebagai adiwira Rohingya. Tidak ada seorang pemimpin dunia Islam yang berani dan lantang menempelak Myanmar dan sekali gus mengambil peranan sebagai arkitek dalam melakarkan agenda memperjuangkan Rohingya.

Apakah selepas ini? Komitmen kerajaan Malaysia dalam memperjuangkan Rohingya sudah menjadi satu fakta dan kekal dalam coretan sejarah. Malaysia komited menyumbang RM10 juta dalam bantuan kemanusiaan dan pembangunan untuk etnik Rohingya di Rakhine, Utara Myanmar.

Malaysia juga berbesar hati memberi peluang pekerjaan kepada pelarian Rohingya seramai 56,000 di Malaysia untuk bekerja secara sah – ini rahmat bagi umat Rohingya di Malaysia. Kini, tiada siapa lagi yang boleh mempertikaikan peranan Malaysia dalam memperjuangkan Rohingya

Kini tiba masanya, OIC secara kolektif perlu mengambil inisiatif. Resolusi mesyuarat secara eksplisit menyerahkan tugasan kepada sekretariat OIC yang diketuai setiausaha agungnya, Dr Yousef Al Othaimeen untuk menggerakkan “grand design” yang dilakarkan mesyuarat.

Pada hemat saya ia tugas yang paling besar yang pernah diberikan kepada sekretariat OIC sejak penubuhannya 1969. Apatah lagi Dr Yousef hanya memegang jawatan tersebut baru 3 bulan.

Pada hemat saya apa yang perlu Dr Yousef lakukan sekarang adalah seperti berikut:

Menggunakan kepakaran dan pengalaman Syed Hamid sebagai penasihat utama sekali gus memberikan beliau mandat sebagai duta khas OIC dengan kemudahan yang lengkap. Kunci untuk membuka Myanmar kepada dialog yang lebih konstruktif adalah melalui Asean, di sini Malaysia dan Indonesia mempunyai kelebihannya.

Menggunakan jaringan yang ada pada kumpulan pemikir dari negara Asean khususnya Malaysia yang sejak sekian lama melaksanakan gerak kerja dalam bentuk advokasi terbuka dan tersembunyi serta berpengalaman menghantar bantuan kemanusiaan ke Rakhine – mereka ini aset barisan hadapan dalam pembangunan semula Rohingya di Rakhine kelak.

Ini bermakna setiausaha agung OIC hendaklah mewujudkan bilik gerakan di Kuala Lumpur agar gerak kerja strategik dapat dilaksanakan. Ini kerana Kuala Lumpur pusat gerak nadi yang memperjuangkan isu Rohingya serta segala modal insan dalam kepakaran dan pengalaman terdapat di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu Dr Yousef juga harus menggerakkan satu pasukan penghubung khas yang menumpu dalam melaksanakan gerak kerja diplomatik dalam mendapatkan sokongan negara Eropah, Rusia, China dan seterusnya membawa isu Rohingya ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Dalam konteks ini sekretariat OIC perlu menggunakan khidmat para pelobi berpengaruh khususnya dalam meyakinkan kerajaan barat.

Sekretariat OIC perlu menampilkan satu rangka kerja berjadual serta mengadakan mesyuarat berkala dengan semua pihak berkepentingan selain melibatkan pasukan pakar agar segala inisiatif yang rangka tidak sekadar laporan kertas kerja belaka.

Perlu diingat OIC tidak boleh gagal dalam isu ini kerana kegagalan OIC akan melumpuhkan relevansinya di masa akan datang. Justeru itu Malaysia sebagai negara penggerak utama perlu menawarkan diri kepada sekretariat OIC agar satu Pusat OIC peringkat Asia Tenggara dapat diwujudkan di Kuala Lumpur dan menjadikan OIC lebih efektif dalam menangani isu Rohingya.

Harapan kita dan seluruh umat Rohingya ialah OIC di bawah kepimpinan baharu dan disokong Malaysia yang komited akan dapat menzahirkan satu iltizam dan pengurusan kepimpinan cekap dalam menangani isu Rohingya dan seterusnya menguburkan persepsi OIC dengan nada “Oh I See”. Masanya sudah tiba agar kita memberikan harapan masa depan yang lebih baik kepada umat Rohingya.

Dr Helmi Ibrahim ialah pengarah eksekutif Asean Rohingya Center (ARC)

Free Malaysia Today

Comments