Home Antarabangsa Myanmar dakwa Najib guna isu Rohingya demi ‘kepentingan politik’ sendiri

Myanmar dakwa Najib guna isu Rohingya demi ‘kepentingan politik’ sendiri

Myanmar menafikan dakwaan penderaan ke atas etnik Rohingya dan menyalahkan 'berita palsu' sebagai punca penyebaran tuduhan tidak berasas itu.

SHARE

YANGON: Myanmar hari ini mendakwa Datuk Seri Najib Razak menggunakan isu keganasan terhadap etnik Rohingya di Rakhine untuk “kepentingan politik” beliau.

Perdana menteri lantang mengkritik Myanmar sejak keganasan di Rakhine tercetus Oktober lalu, apabila tentera kerajaan mula memburu penyerang pos kawalan polis di sempadan negara itu.

Sejak itu, sekurang-kurangnya 66,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dan mendakwa pasukan keselamatan merogol, menyeksa dan membunuh penduduk di Rakhine yang disifatkan Najib sebagai penghapusan kaum.

Semalam, Najib menggunakan sesi khas Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya untuk menggesa Yangon menghentikan pembunuhan, pencabulan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, penganiayaan serta penafian hak asasi ke atas etnik Rohingya.

Gesaan itu disambut dengan respons Yangon yang menafikan dakwaan penderaan ke atas etnik Rohingya, sebaliknya mereka menyalahkan “berita palsu” sebagai punca penyebaran tuduhan tidak berasas itu.

Timbalan Pengarah Kementerian Luar Myanmar, Aye Aye Soe memberitahu AFP, Najib “menggunakan Myanmar untuk kepentingan politik sendiri, bertentangan prinsip Asean”.

“Mereka mengkritik kami tanpa ragu-ragu berdasarkan laporan berita dari tempat berbeza, termasuk berita dari sumber tidak boleh dipercayai, tanpa membincangkan isu itu seperti jiran yang baik. Kami amat sedih dengan perkara ini.”

Kritikan Najib mengenai Myanmar adalah pertikaian terbuka yang jarang berlaku di kalangan anggota Asean yang mengutamakan dasar tidak mencampuri urusan dalaman negara lain.

Layanan Myanmar terhadap etnik Rohingya, masyarakat yang tinggal di Myanmar tanpa kewarganegaraan, mencetuskan kemarahan dunia Islam.

Ramai di kalangan penganut Buddha yang merupakan majoriti penduduk di Myanmar mengelar mereka Bengali – singkatan untuk pendatang asing tanpa izin dari negara jiran Bangladesh – walaupun ramai yang tinggal di Myanmar untuk beberapa generasi.

Free Malaysia Today

Comments