Home Tempatan Muslim Zionisme, PERTAMA Bantah Ebrahim Moosa

Muslim Zionisme, PERTAMA Bantah Ebrahim Moosa

SHARE

Kuala Lumpur: Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Ebrahim Moosa yang menggelar polisi layanan istimewa kepada kaum Bumiputera di Malaysia adalah Islam Zionisme.

Menurut Yang Dipertua PERTAMA Datuk Wira As’ari Hj Ibrahim, dakwaan yang dibuat oleh Ebrahim Moosa, seorang pensyarah di Universiti Notre Dame, Amerika Syarikat dalam program yang dianjurkan oleh Islamic Renaissance Front (IRF) yang bertajuk “Islam In Global Politics : A Civilizational Crisis” baru-baru ini dilihat sangat melampaui batas kerana ia berniat untuk menghasut kaum bukan bumiputera di Malaysia.

“Jika perkara seperti ini terus dibiarkan ia boleh merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara kita.”

“Hal ini demikian kerana tuduhan ini dilihat cuba menghasut rakyat di negara ini terutamanya kaum bukan bumiputera untuk mempertikaikan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya.

Merujuk Perkara 153(1) dalam Perlembagaan Persekutuan, telah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara 153(1) ini.

“Pada pandangan kami, hal ini menunjukkan bahawa ia merupakan perkara yang tidak boleh dipersoalkan dalam sistem Perlembagaan di Malaysia,” ujar beliau.

Senada dengan kenyataan penentangan Syed Hassan Syed Ali, Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) terhadap Ebrahim Moosa, PERTAMA menggesa agar kerajaan dan pihak berkuasa memantau dengan lebih terperinci lagi aktiviti-aktiviti yang melibatkan badan-badan NGO supaya mereka tidak sewenang-wenangnya menjemput penceramah dari luar negara dalam program mereka.

“Tindakan yang tegas juga hendaklah dikenakan terhadap badan-badan NGO yang melanggar peraturan sehingga boleh mendatangkan keburukan atau membawa unsur-unsur negatif kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” tambahnya lagi.

Comments