Home Antarabangsa Muslim Lapis Bawah Malaysia Tolak Mun’im Sirry — Tokoh Islam Liberal Indonesia

Muslim Lapis Bawah Malaysia Tolak Mun’im Sirry — Tokoh Islam Liberal Indonesia

SHARE

Yogyakarta, INDONESIA: Isi perbahasan Mun’im Sirry perlu diteruskan meskipun amat sensitif kepada beberapa kelompok Islam terutamanya daripada kalangan “ummat lapis bawah”, desak Profesor Dr Abdul Munir Mulkhan, tokoh akademik Indonesia.

Kenyataan sedemikian dikeluarkan setelah beliau meneliti kenyataan Mun’im Sirry yang telah membangkitkan kemarahan umat Islam Malaysia dalam sebuah seminar anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) dan kumpulan Melayu ulung, G25.

Beliau berkata, “Pokok bahasan Dr Mun’im bukanlah barang baru, tetapi memang amat sensitif bagi beberapa kelompok Islam, terutama ummat lapis bawah, namun merupakan kajian akademis yang perlu terus dilakukan.”

“Presentasi Dr Mun’im Sirry lebih merupakan paparan tentang beberapa pandangan orientalis dan ilmuwan di negeri-negeri Barat, terutama yang memiliki cara pandang revisionis.”

“Menghadapi kajian akademis kaum revisionis dan ilmuwan Barat demikian itu memerlukan sikap jernih dan hati terbuka,” katanya lagi.

Beliau kemudian mendedahkan perancangan beberapa tokoh Indonesia untuk mengadakan seminar tentang Al-Quran menurut pandangan Dr Mun’im Sirry dengan menjemput IRF ke negara itu bagi menghindari salah faham berkenaan isi perbahasan Dr Mun’im Sirry itu.

Dalam pembentangannya di Kuala Lumpur, Mun’im Sirry telah menulis semula surah al-Kafirun dan mendakwa al-Quran tidak bebas daripada campur tangan orang Arab dalam proses pembukuan, serta meremehkan syurga yang digambarkan dalam al-Quran sebagai kurang indah berbanding keindahan bumi Malaysia selain mendakwa terdapat kontradiksi pada kitab tersebut.

Isi kandungan pembentangan tersebut telah membangkitkan kemarahan Mufti Perlis Profesor Madya Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin sehingga menyebabkan beliau berulang kali menyuarakan bantahan kerana tidak mampu lagi untuk berdiam diri.

Mufti tersebut berkata, “Segala urat nadi saya bangkit membantah apabila secara jelas saya merasakan beliau merendah-rendahkan al-Quran secara bertalu-talu.”

Dato’ M Redzuan Kushairi dari G25 selaku penganjur bersama seminar tersebut juga meluahkan rasa kesal dan ketidakpuasan hatinya terhadap komen Dr Mun’im Sirry terhadap kesucian al-Quran.

Comments