Home Tempatan Muhyiddin Arah Polis Ambil Tindakan Tegas Kes Rusuhan Kuil

Muhyiddin Arah Polis Ambil Tindakan Tegas Kes Rusuhan Kuil

SHARE

Putrajaya – YB Menteri Dalam Negeri Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin telah mengarahkan pihak polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berhubung insiden pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya pada 26 November yang lalu seperti yang dimuat naik dalam media sosial Kementerian Dalam Negeri.

Tindakan tegas ini termasuklah terhadap pihak-pihak yang membuat kenyataan berbaur perkauman yang bersifat provokatif, menyebarkan berita palsu yang berunsur fitnah dan hasutan serta menganjurkan perhimpunan-perhimpunan untuk membakar sentimen kaum.

Beliau turut menekankan sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara keselamatan dan keamanan negara, Kementerian Dalam Negeri dan Polis DiRaja Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang menjejaskan ketenteraman awam. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil demi memelihara keselamatan dan keamanan negara.

Beliau membuat kenyataan sedemikian dalam sebuah sidang media khas mengenai isu pergaduhan di kuil Sri Maha Mariamman tersebut di Bilik Sidang Media kementeriannya bersama-sama YBhg Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Dato’ Seri Alwi Hj Ibrahim dan YDH Ketua Polis Negara Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun.

Dalam sidang media yang sama, Tan Sri Muhyiddin menegaskan bahawa berdasarkan siasatan polis, insiden ini tiada kaitan sama sekali dengan isu perkauman. Kejadian ini berlaku berpunca daripada pertikaian antara pihak pemaju One City Development Sdn Bhd dan ahli jawatankuasa kuil mengenai hak milik tanah tapak kuil berkenaan.

Siasatan pihak polis turut mendapati pihak yang dikaitkan dengan syarikat pemaju telah tidak mematuhi proses pengambilalihan tapak kuil sepertimana yang dirancang mengikut peruntukan undang-undang.

Tindakan menceroboh yang amat tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang ini telah menimbulkan kemarahan penganut agama Hindu yang berada di kawasan kejadian sehingga menimbulkan kekecohan, pergaduhan dan kerosakan harta benda.

Tan Sri Muhyiddin berkata, “Saya amat kesal dengan tindakan gopoh dan cuai yang diambil oleh pihak yang dikaitkan dengan syarikat pemaju yang jelas melanggar undang-undang,” dan seterusnya menambah, “Sekiranya tindakan gopoh dan cuai ini tidak diambil, saya percaya insiden pergaduhan antara kumpulan lelaki Melayu dan penganut agama Hindu di Kuil Sri Maha Mariamman tidak berlaku”.

Untuk rekod, Tan Sri Muhyiddin menyatakan pihak polis telah menahan 21 orang individu untuk membantu siasatan. Pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti individu-individu lain yang terlibat dalam insiden ini, termasuk kejadian rusuhan yang melibatkan sekumpulan kaum India pada malam 27 November 2018 yang telah menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota bomba dan seorang anggota polis selain kerosakan harta benda milik awam dan persendirian

Comments