Home Tempatan Mudahkan sebutan Quran, ustaz kreatif cipta alat al-Baghdadi

Mudahkan sebutan Quran, ustaz kreatif cipta alat al-Baghdadi

SHARE

KUALA LUMPUR, 27 Feb — Seorang ustaz mencipta alat ketukan bagi membantu pelajar dan orang ramai menguasai tanda bacaan penting dalam al-Quran.

Inovasi menarik yang diperkenal Jalaluddin Hassanuddin, 47, bertujuan menentukan panjang atau pendek sebutan seperti sabdu, sukun dan mad, lapor Harian Metro.

Penggunaan alat itu, yang dinamakan teknik al-Baghdadi sempena tempat beliau belajar di Iraq, kini tersebar hingga ke New Zealand, Brunei dan Indonesia.

Idea mencipta alat tersebut, sebatang kayu kecil bersaiz pensel dengan tapak bulat, pada 2009 tercetus selepas melihat pengalaman guru di negara jiran.

“Suatu hari, ketika mengikuti kelas yang dianjurkan seorang guru dari Indonesia, dia memberi contoh bagaimana cara mudah membetulkan bacaan panjang mad dengan hanya menggunakan ketukan pensel,” katanya.

“Tetapi saya pula nampak lebih jauh dan akhirnya selepas sembilan tahun terbabit dalam mengendalikan program al-Quran terhasillah alat ketukan menggunakan kayu dengan tapaknya ada ruang bulatan kecil.”

Jalaluddin juga menghasilkan silibus khas bagi memudahkan hafalan 30 juzuk menggunakan konsep neurolofisiologi, dengan “memaksimumkan fungsi otak kiri dan kanan.”

The Malay Mail Online

Comments