Home Tempatan M’sia minta penjelasan k’jaan Bangladesh tak benar misi kemanusiaan

M’sia minta penjelasan k’jaan Bangladesh tak benar misi kemanusiaan

SHARE

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia Md Shahidul Islam di Kementerian Luar di Putrajaya semalam.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata pertemuan itu bertujuan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan Bangladesh berkaitan keputusan mereka yang tidak membenarkan ‘Misi Kemanusiaan-Food Flotilla for Myanmar’ untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di Bangladesh.

“Semasa pertemuan berkenaan, Anifah merakamkan rasa kesal yang mendalam terhadap keputusan kerajaan Bangladesh bersandarkan kepada hubungan dua hala yang amat baik antara kedua-dua negara.

“Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh mengambil maklum akan kekesalan itu dan akan memberi maklum balas setelah mendapat penjelasan daripada kerajaan Bangladesh,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, kerajaan Malaysia sedang berkomunikasi dengan kerajaan Bangladesh melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur dalam memastikan misi Food Flotilla dapat menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di sekitar Pelabuhan Teknaf.

Misi kemanusiaan itu membawa 2,200 tan metrik makanan, keperluan perubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon sebelum meneruskan perjalanan ke Teknaf serta kem pelarian di Bangladesh.

Teknaf merupakan pelabuhan terdekat dengan 65,000 orang pelarian Rohingya di Bangladesh yang melarikan diri dari Myanmar sejak 9 Oktpber tahun lepas.

Pelepasan rasmi delegasi itu diketuai Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim itu dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Boustead Cruise Centre di Pelabuhan Klang semalam.

Misi ‘Food Flotilla for Myanmar’ adalah anjuran KP1M dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan kerjasama Yayasan Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) dari Turki.

Ia disertai kira-kira 230 sukarelawan dari 13 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa, serta wakil-wakil NGO tempatan dan luar negara.

Comments