Home Tempatan MPM cadang anjur kongres ekonomi Islam

MPM cadang anjur kongres ekonomi Islam

SHARE
HASAN MAD (duduk tiga dari kanan) bersama barisan ahli MPM dalam sidang akhbar penganjuran Kongres Ekonomi MPM di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/Azrul Edham Mohd. Aminuddin

KUALA LUMPUR 30 Mei – Majlis Perundingan Melayu (MPM) mahu menganjurkan kongres ekonomi dalam mencari kaedah dan pendekatan baharu bagi meningkatkan prestasi ekonomi Melayu dan Islam, dengan menggunakan majlis agama Islam ne­geri sebagai pemudah cara.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Hasan Mad berkata, cada­ngan itu timbul hasil daripada syor bekas pengarah urusan syarikat penerbangan negara MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, yang mahu majlis agama Islam memperluaskan peranan kepada pembangunan ekonomi orang Islam, bukan sekadar berkaitan hal ehwal agama Islam sahaja.

Malah katanya, majlis agama Islam negeri yang berada terus di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong atau Sultan semestinya mempunyai kedudukan lebih tinggi untuk menubuhkan apa-apa jenis perbadanan untuk membantu perkembangan ekonomi orang Islam.

“Kami jangka menganjurkan Kongres Ekonomi MPM pada Julai atau Ogos berdasarkan gerak kerja yang disusun sekarang. Daripada kongres ini, kami akan menghasilkan satu pelan tindakan yang akan membantu ekonomi orang Islam.

“MPM akan bekerjasama rapat dengan majlis agama Islam negeri untuk mengumpulkan kepakaran bagi melaksanakan pelan tindakan ini. Kedua-dua pihak akan menghadap Majlis Raja-Raja untuk meyakinkan pelaksanaan pelan tindakan ini,” katanya dalam sidang akhbar mencadangkan penganjuran Kongres Ekonomi MPM di sini hari ini.

Dalam masa terdekat, Hasan berkata, MPM akan mengadakan perjumpaan dengan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri bagi membentangkan cadangan mengadakan kongres tersebut.

Jelasnya, beberapa isu ber­kaitan ekonomi orang Islam akan dibincangkan dalam kong­res itu dan mencari jalan bagaimana membolehkan orang Islam meraih manfaat daripada aset di dalam sesebuah negeri.

“Semasa Mesyuarat Ketiga Lembaga Penasihat MPM pada 18 Mei lalu, beberapa perkara berkaitan ekonomi orang Me­layu dibincangkan, seperti ba­gaimana Tanah Rizab Melayu boleh dibangunkan untuk manfaat ekonomi Islam.

“Sama juga dalam sektor halal bagaimana mahu meningkatkan penyertaan orang Islam Melayu di dalam sektor ini, yang kini agak dikuasai oleh bukan Islam,” katanya lagi.

Jelasnya, cadangan yang dibawa oleh MPM itu tidak akan mencetuskan permasalahan kerana Islam dan ekonomi bersifat terbuka yang tidak hanya terhad untuk orang-orang Islam sahaja.

UTUSAN ONLINE

 

Comments