Home Tempatan MLL4S bina sekolah pelarian di Yaman

MLL4S bina sekolah pelarian di Yaman

SHARE

KUALA LUMPUR: Malaysian Life Line For Syria (MLL4S) akan membina sekolah di Al-Khoniq di Maarib bersebelahan wilayah konflik Sanaa di Yaman, bagi memastikan kanak-kanak di negara bergolak itu mendapat pendidikan.

Sekolah yang dirancang dibina hujung tahun ini bakal memanfaatkan lebih 300 kanak-kanak pelarian berusia antara tujuh hingga 17 tahun di kem pelarian Al-Khoniq yang menjadi tempat perlindungan 3,500 pelarian dalaman (IDP).

Ketua Pegawai Eksekutif MLL4S, Syahrir Azfar Saleh, berkata pembinaan sekolah itu adalah sebahagian projek di kem pelarian Al-Khoniq yang akan dijadikan kem pelarian angkat MLL4S yang akan dibantu secara berperingkat, bermula dengan pembinaan sekolah.

Katanya, MLL4S memerlukan dana RM100,000 untuk membina sekolah itu November depan.

“Kesihatan dan pendidikan antara isu utama yang dihadapi pelarian dalaman di Yaman, termasuk di Maarib. Kita putuskan untuk bina sekolah itu apabila mereka hanya bergantung kepada sekolah (khemah) UNICEF di kem pelarian itu,” katanya kepada BH, hari ini.

Syahrir Azfar yang juga Exco Global Peace Mission (GPM), mengetuai misi kemanusiaan ke Yaman minggu lalu bagi meninjau perkembangan di negara bergolak itu selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan krisis di negara itu semakin parah.

Tentera pakatan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas pemberontak Houthi dan tentera setia dengan bekas Presiden Ali Abdullah Saleh sejak Mac 2015 bagi memulihkan kuasa Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang diiktiraf antarabangsa.

Konflik di negara itu dilaporkan lebih buruk dari Syria apabila lebih 370,000 rakyatnya dilaporkan dijangkiti taun dengan 1,800 mati sejak penularan wabak taun April lalu.

Yaman kini berdepan dengan konflik perang, kebuluran dan penularan wabak taun.

Syahrir Azfar berkata, GPM dan MLL4S memberi bantuan awal makanan dan bekalan air bersih kepada 2,000 pelarian dalaman di kem pelarian Al-Khoniq dan Zanah dalam misi kemanusiaan ke negara bergolak itu minggu lalu.

Mana-mana pihak yang mahu menyumbang bagi projek kemanusiaan MLL4S di Yaman boleh melayari laman web www.malaysia4syria.org atau Facebook Malaysian Life Line For Syria.

Berita Harian

Comments