Home Tempatan MITI sedia kaji wujudkan AP khas produk babi

MITI sedia kaji wujudkan AP khas produk babi

SHARE
TIMBALAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan (tengah) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib (lima dari kiri) melihat produk yang dihasilkan pekerja ketika melawat Kilang RMK Timur Qaseh Sdn Bhd, Lot No.1, Incubator Usahawan Terengganu (IID), Ajil,Hulu Terengganu. Foto Rozainah Zakaria

KUALA BERANG: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedia mengkaji bagi mewujudkan permit import (AP) khas untuk semua produk yang ada kaitan dengan unsur babi.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, pegawai MITI diminta bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Majlis Halal Malaysia (MHM) untuk membuat kajian secara terperinci sebelum mewujudkan AP khas bagi semua produk berunsur babi yang ingin diimport ke negara ini.

Katanya, jika AP untuk mengimport besi dan keluli serta kereta terpakai dari China boleh diwujudkan, kerajaan juga mampu mewujudkannya bagi produk serta barangan lain yang berunsurkan babi bagi memudahkan pengawalan dilakukan.

“Kerajaan memandang serius pendedahan mengenai lambakan berus cat bulu babi yang dijual di premis perkakasan binaan dan pasar raya di seluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Kilang RMK Timur Qaseh Sdn Bhd di Ajil dekat sini, hari ini.

Susulan pembongkaran itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendesak kerajaan mewujudkan AP khas untuk semua produk berunsur babi yang ingin dibawa masuk ke negara ini.

Ahmad berkata, apabila AP khas itu diwujudkan, pengimport akan diwajibkan meletakkan label yang menjelaskan kandungan barangan termasuk mencetak imej haiwan pada setiap bungkusan bagi mengelak umat Islam menggunakannya.

Katanya, AP khas itu juga membolehkan kerajaan atau agensi yang terbabit membuat pengawalan kemasukan selain membantu mengenal pasti syarikat pembekal.

“Kerajaan menerima baik pandangan itu dan kajian secara menyeluruh membabitkan JAKIM dan MHM dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dilakukan.

“Kerajaan juga menyeru umat Islam sentiasa berwaspada mengenai setiap produk mencurigakan yang dilaporkan dijual secara berleluasa di pasar raya seluruh negara,” katanya.

Berita Harian

Comments