Home Tempatan Misi kelapan MAPIM ke Syria

Misi kelapan MAPIM ke Syria

SHARE
MISI Bantuan Kecemasan Rescue Syria (MAPIM) siri ke 8 yang diketuai oleh Sani Araby Al- Kahery (lima dari kiri) bersedia untuk berlepas ke Syria di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Turut sama Penasihat Misi Bantuan Kecemasan Rescue Syria (MAPIM), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (tiga dari kanan). - Foto Fariz Iswadi Ismail

SEPANG: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) merancang membina Pusat Bantuan Kemanusiaan bagi melatih guru dalam badan bukan kerajaan (NGO) memberi motivasi kepada masyarakat.

Ketua Misi Bantuan Kecemasan Rescue Syria MAPIM, Sani Arabi Abd Halim, berkata pusat latihan berkenaan akan dibina di tanah wakaf seluas hampir sehektar di sempadan Syria.

Katanya, ia adalah perancangan jangka panjang yang boleh dilakukan MAPIM untuk pelarian di sana.

“Pengalaman di Gaza sebelum ini banyak membantu. Ketika di Gaza, kami mengadakan program untuk membantu usahawan yang akhirnya menyumbang kepada sara diri mereka.

“Dalam perancangan jangka panjang ini, MAPIM menumpukan kepada bidang pendidikan dan ekonomi kerana kita tidak boleh menghantar bantuan selamanya,” katanya kepada media sebelum berlepas untuk misi bantuan ke tiga lokasi utama iaitu Aleppo, Idleb dan Azaz di Syria.

Sani berkata, harapan menggunung pelarian di sana terhadap bantuan berkenaan adalah antara cabaran kepadanya.

“Mereka berharap, kita takut saluran berkenaan tidak mencukupi untuk semua penduduk di sana.

“Ada yang menunggu untuk rawatan kekejangan, sakit tua, dan sebagainya.

“Bantuan yang sedikit ini sudah tentu tidak dapat menyelesaikan semua sekali,” katanya.

Melalui misi berkenaan, MAPIM turut menghantar lima ambulans yang diwakafkan rakyat negara ini, selain membina 10 sekolah dan surau untuk pelarian.

Misi berkenaan juga akan menghantar lapan trak membawa 4,000 kotak makanan, 5,000 baju sejuk, 43,000 bungkusan roti, 300 alat pemanas ketika musim sejuk dan ubat-ubatan.

Berita Harian

Comments