Home Antarabangsa Militan Daesh rancang lakukan serangan di Arab Saudi

Militan Daesh rancang lakukan serangan di Arab Saudi

SHARE

DUBAI, 15 Ramadan 1438H, Sabtu – Militan Daesh mengancam melakukan serangan di Arab Saudi selepas kumpulan militan itu mengaku bertanggungjawab ke atas serangan di Tehran yang membunuh sekurang-kurangnya 17 orang, lapor kumpulan pemantau SITE Intelligence, Jumaat.

Dalam satu video yang dikatakan dirakam sebelum serangan di Tehran, 5 lelaki bertopeng memberi ancaman kepada pengikut Syiah di Iran dan berkata giliran kerajaan Arab Saudi “akan tiba”.

“Dengan izin Allah, briged ini akan menjadi jihad pertama di Iran, dan kami meminta saudara-saudara Islam supaya mengikut kami, kerana api yang tercetus tidak boleh dipadamkan, insyaAllah,” kata seorang lelaki bertopeng.

Di penghujung video itu, beliau menghantar mesej kepada kerajaan Arab Saudi.

“Selepas Iran, giliran kamu. Demi Allah, kami akan serang kamu di rumah kamu…kami bukan ejen sesiapa, kami hanya patuhi Allah dan Rasul, dan kami berjuang demi agama ini, bukan demi Iran atau Semenanjung Arab,” kata militan itu.

Daesh, yang menguasai kawasan dari Syria ke Iraq, pernah melakukan serangan terhadap pasukan keselamatan Arab Saudi serta pengeboman dan tembakan yang menyasarkan pengikut Syiah di negara itu sebelum ini.

Pihak berkuasa Iran berkata, 5 daripada penyerang itu warga Iran yang direkrut Daesh, sementara Kor Pengawal Revolusi Iran menuding jari kepada seteru mereku Arab Saudi dan mengancam balas dendam. Arab Saudi yang majoriti warganya pengikut sunnah wal jamaah nafi terbabit dalam serangan itu.

Comments